Kenderaan untuk mudahkan warga emas ke PPV

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia membantu mempermudahkan urusan penerimaan dos pertama vaksin golongan warga emas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.

Antara usaha yang dirancang bagi menjayakan program vaksinasi fasa kedua itu adalah dengan menyediakan pengangkutan kepada mereka. Baru-baru ini, media melaporkan seramai 9,000 individu di negeri ini majoritinya berumur 60 tahun ke atas dilaporkan gagal hadir pada tarikh pemberian vaksin yang ditetapkan.

"Mereka bukannya menolak vaksin, tetapi mereka tidak dapat hadir atas beberapa faktor seperti tidak menerima jemputan, terlupa dan tiada kenderaan," kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Menurut Saarani, pihaknya akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berhubung penyelesaian permasalahan itu.

"Kita kini sedang kenalpasti mereka yang menghadapi masalah itu sebelum mengatur kenderaan untuk membawa mereka ke PPV.

"Perkara ini turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu secara sukarela. Kalau betul ada masalah kenderaan, kita akan aturkan supaya perkara ini dapat diatasi pada kadar segera," katanya.

Ditanya mengenai pemberian vaksin kepada pengamal media, Saarani menjelaskan, senarai nama media di negeri itu telah dihantar kepada Kementerian Kesihatan.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 9,000 penduduk di Perak majoriti berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin pada tarikh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga Selasa lalu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mendedahkan 774,288 rakyat Perak telah mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu sekitar 40.04 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini.

Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik yang bermula sejak 19 April lalu.