Dua individu tak mengaku hantar komunikasi palsu

No Image Caption
A
A
A

SELAYANG - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi palsu di laman sosial Facebook berhubung kehilangan jongkong emas seberat lebih 200 kilogram (kg) di sebuah kuil pada Februari lalu.

D Arumugam, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nur Rajiah Mat Zin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu menerusi Facebook atas nama 'Arun Dorasamy' secara sedar dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Kejadian didakwa dilakukan pada jam 4.27 petang, 6 Februari 2020 yang mana hantaran itu dibaca pada 23 Februari tahun sama, jam 9 pagi di Pejabat Kuil Batu Caves, Gombak.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita membuat pengakuan sama atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat ancaman berhubung isu sama.

R Thanaletchimy, 63, didakwa memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya kepada satu kumpulan WhatsApps dalam bahasa Tamil dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Kejadian didakwa dilakukan pada jam 2.27 petang, 11 Februari 2020 dan dibaca pada hari sama, jam 2.30 petang di pejabat kuil yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam N Rajesh dan B Arun Ganesh.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.