X

Kindly register in order to view this article
!

Pihak berkuasa perlu pemantauan, cari golongan anti-vaksin

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani
A
A

KOTA BHARU – Pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan dengan lebih terperinci untuk mencari golongan anti-vaksin di negara ini kerana hasutan mereka dikhuatiri boleh memberi kesan negatif kepada pemikiran masyarakat.

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata, kawasan luar bandar dilihat menjadi antara lokasi ‘panas’ golongan anti-vaksin ini sehingga mereka boleh meracuni seluruh penduduk kampung untuk tidak keluar mengambil vaksinasi masing-masing.

Menurutnya, kerajaan mungkin boleh mewujudkan satu kumpulan ‘task force’ yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) terpilih untuk membantu pihak berkuasa mengawal budaya penyebaran maklumat melalui mereka (anti-vaksin) ini.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta seluruh rakyat, terutama umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 menerusi penggunaan vaksin.

“Pendirian kerajaan dalam hal ini jelas, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan menegaskan, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak. Maka kenapa kita sebagai masyarakat tidak boleh menerima perkara ini dengan lebih bijak kerana ia adalah salah satu jalan untuk kawalan penularan pandemik berkenaan,” katanya.

Menurutnya, bukan hanya Malaysia, tapi peringkat antarabangsa juga bercakap dan mempunyai pendapat yang hampir sama melibatkan penggunaan vaksin Covid-19, namun kita tidak menafikan masih ramai rakyat yang kurang percaya kepada vaksin ini kerana wujudnya kepercayaan dan pemahaman karut mengenai pengambilannya.

Malah katanya, rata-rata penduduk di kawasan pendalaman yang ditemui pihaknya mengakui ‘termakan’ dengan hasutan sesetengah pihak yang memberi gambaran tidak baik tentang pengambilan vaksin, selain mereka cipta mitos-mitos yang tidak benar bagi menakutkan orang ramai.

“Ini terjadi akibat dari laporan di media sosial yang banyak memfokuskan kepada kesan sampingan sehingga ramai bimbang terhadap kesihatan seperti keletihan, demam, sakit dan kematian. Sebenarnya kes kematian yang berlaku tiada kaitan dengan suntikan vaksin, sebaliknya akibat daripada penyakit-penyakit kronik lain yang sudah ada dalam diri pesakit tersebut.

“Masyarakat masih tidak menyedari tentang kepentingan imunisasi ini. Bukankah rakyat pernah menjalani imunisasi dengan vaksin berlainan sejak kecil lagi dan kesan sampingan juga berlaku ketika itu. Rakyat perlu sedar bahawa vaksinasi akan memberi kesan sampingan yang sebenarnya perkara biasa dan normal seperti demam serta keletihan dan sebagainya.

Justeru, semua pihak perlu berusaha bersungguh-sungguh menyahut saranan kerajaan untuk sama-sama mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini dengan kadar segera kerana kesan serangan wabak ini amat memrbahaya kepada nyawa dan keluarga.

"Sedangkan di dalam Islam pun menjaga nyawa itu adalah suatu kewajipan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!