800 pengamal perubatan swasta sedia jalankan vaksinasi

Gambar fail - Foto Bernama
Gambar fail - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Hampir 800 pengamal perubatan swasta telah menyatakan kesediaan bagi melaksanakan khidmat vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) berkata, jumlah itu berdasarkan lebih 2,600 pengamal perubatan swasta yang telah berdaftar dengan pihaknya sejak 8 Mac lalu.

“Bagi memastikan pengendalikan vaksinasi adalah mengikut standard dan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesemua Jabatan Kesihatan Negeri sedang bertungkus lumus memudah cara dalam memaksimumkan penglibatan pengamal perubatan swasta ini.

“Dijangkakan proses memberi lampu hijau bagi penglibatan 800 pengamal perubatan swasta yang telah menyatakan kesediaan ini akan diselesaikan secepat mungkin dan vaksinasi dapat dijalankan segera,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklumbalas berhubung kegusaran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di beberapa media berkaitan proses pemberian lampu hijau kepada pengamal perubatan swasta sebelum dibenarkan terlibat dalam PICK dan dakwaan tiada sesi libat urus bersama MMA.

Menurut ProtectHealth, sehingga kini lebih 200 pengamal perubatan swasta telah menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menjalankan vaksinasi di bawah PICK.

“ProtectHealth amat menghargai kesediaan pengamal perubatan swasta dalam membantu mempercepatkan usaha ke arah pembentukan imuniti kelompok dan pada masa yang sama ingin menegaskan bahawa terdapat pelbagai perkara yang perlu dititikberatkan selain penglibatan pelbagai pemegang taruh kerana ia melibatkan kesihatan awam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan tiada sesi libat urus, ProtectHealth berkata, mereka telah mengadakan sesi taklimat PICK dengan kerjasama MMA dan dihadiri kira-kira 200 ahli persatuan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ProtectHealth sendiri telah mengadakan lebih 15 sesi taklimat dan latihan kepada semua pengamal perubatan swasta berdaftar yang diadakan secara berterusan bermula 29 Mac lalu melibatkan lebih 6,000 pengamal perubatan swasta,” katanya.