Permohonan Rosmah batal bicara kes rasuah, gugur Sri Ram ditangguh

Rosmah - Foto fail Bernama
Rosmah - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek hibrid solar dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan yang dijadualkan esok, telah ditangguhkan kepada 17 Jun.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar, dalam e-mel kepada kedua-dua pihak, berkata Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mengkaji surat daripada peguam dan mendapatkan maklum balas daripada pendakwaan.

“Pendengaran pada 3 Jun menerusi aplikasi Zoom dengan kedua-dua pihak dijangka mengemukakan hujahan masing-masing akan ditangguhkan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh oleh kerajaan. Permohonan itu akan didengar di mahkamah terbuka pada 17 Jun.

“Tarikh 15 dan 16 Jun yang ditetapkan untuk mendengar pembelaan Rosmah turut dilapangkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi mengesahkan penangguhan kedua-dua pendengaran.

"Difahamkan bahawa pembelaan telah memohon agar pendengaran permohonan itu didengar dalam prosiding mahkamah secara terbuka,” katanya.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Mei lepas untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes rasuah terhadapnya dalam usaha membebaskan diri daripada ketiga-tiga pertuduhan dan menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lepas.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Pada 18 Feb 2021, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk mendengar keterangan Rosmah serta saksi pembelaan lain.-Bernama