Malaysia perlu belajar daripada Taiwan: Dr Adeeba

Adeeba ketika hadir program Sinar Live dikendalikan Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Adeeba ketika hadir program Sinar Live dikendalikan Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Taiwan menjadi negara yang paling tersohor kerana berjaya mengawal penularan pandemik Covid-19 tanpa menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan atau 'lockdown'.

Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, tiga negara lain yang berjaya mengawal penularan pandemik ini termasuklah Vietnam, Bhutan dan sebuah negara paling miskin di Afrika, Rwanda.

"Yang paling tersohor adalah Taiwan. Kalau kita bandingkan mereka terletak sebelah menyebelah dengan China, sudah tentu ada (aktiviti) dagangan dan sebagainya," kata Dr Adeeba.

Bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu berkata demikian pada program Sinar Live bersama Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Dr Adeeba yang berpeluang mengikuti satu seminar di Taiwan tidak lama dulu memberitahu, antara perkara paling penting bagi mereka adalah mengambil langkah awal sama seperti yang dilakukan oleh Malaysia.

Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman

"Mereka menutup sempadan. Kedua, mereka juga menggunakan teknologi digital secara sangat menyeluruh. Jadi, ujian, pengesanan kontak, isolasi dan semua ini disokong oleh teknologi digital.

"Ketiga, mereka betul-betul menghayati semua pendekatan masyarakatnya, semua agensi bekerjasama termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan akademia bekerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Itu yang saya pelajari daripada apa yang saya dengar apabila mereka memberikan satu seminar mengenai The Taiwanese Success Story tapi bukan sahaja Taiwan. Sudah tentu, Taiwan mempunyai teknologi yang terkehadapan," katanya.

Beliau menambah, Malaysia juga boleh mempelajari daripada negara lain seperti Vietnam. Begitu juga dengan pendekatan yang diambil oleh Bhutan dan Rwanda iaitu mobilisasi akar umbi. Mereka akan menutup kawasan terjejas apabila menerima sebarang laporan.

"Ya, Rwanda adalah sebuah negara miskin di Afrika. Rwanda selepas mengalami kesukaran namun mereka bangkit membina (semula) sistem kesihatan, bukan sahaja untuk respons Covid-19 tetapi mereka juga adalah negara contoh dalam menangani HIV," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai negara-negara yang tidak menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan atau 'lockdown' tetapi ekonomi mereka bergerak seperti biasa dan impak mereka yang dijangkiti tidak seteruk seperti dijangkakan.