X

Kindly register in order to view this article
!

PM digesa salur dana RM1 bilion Projek Khas

Fahmi Mohamed Fadzil
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalurkan dana Projek Khas berjumlah RM1 bilion ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membantu negara menangani Covid-19.

Beliau berkata, gesaan itu selari dengan pengumuman Muhyiddin pada Isnin berhubung menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan seperti mana diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) tahun lepas.

Menurutnya, jumlah RM1 bilion itu jauh lebih besar berbanding elaun tiga bulan berkenaan malah ia dapat digunakan segera untuk menangani pandemik Covid-19.

“Saya menggesa Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion daripada Belanjawan 2021 di bawah tajuk ‘Projek Khas’.

“Ia bertujuan untuk disalurkan secara terus ke dalam Akaun Amanah Bencana ini. Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun tiga bulan bagi 220 orang ahli Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta) dan akan dapat digunakan segera untuk menangani pandemik ini,” kata Fahmi menerusi akaun Facebook miliknya pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman tersebut tidak bermakna elaun ahli Parlimen dan peruntukan-peruntukan khas Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri juga disalurkan ke dalam akaun tersebut.

Justeru, beliau meminta Muhyiddin menjelaskan perkara tersebut.

“Kedua, wujud pandangan yang mengatakan bahawa ahli Parlimen termasuk daripada kalangan pembangkang juga patut menyalurkan elaun mereka ke dalam akaun yang sama.

“Sebagai seorang ahli Parlimen, saya bersedia melakukan perkara ini dengan syarat utama Parlimen dibuka sekarang.

“Proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen dibekukan enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Parlimen bersidang, pelbagai soalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas.

“Contohnya, berapa sebenarnya yang telah dibelanja untuk membangunkan laman web pendaftaran AstraZeneca dan mengapa laman web tersebut gagal pada saat paling kritikal baru-baru ini?,” soal Fahmi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!