Kempen perang dadah: Tiga polis dihukum penjara 40 tahun

global
global
A
A
A

MANILA - FILIPINA. Tiga anggota polis di Filipina, hari ini didapati bersalah atas pembunuhan berprofil tinggi seorang remaja yang merupakan kes sabitan pertama sejak kempen 'perang dadah' Presiden Rodrigo Duterte bermula.

Ketiga-tiga mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 40 tahun kerana membunuh Kian Delos Santos, 17, pada 2017.

Pembunuhan Santos di Manila telah mencetuskan kecaman banyak pihak berikutan mayatnya ditemui di sebuah lorong selepas polis mengesyaki mangsa adalah pengedar dadah.

Menurut polis, mereka terpaksa membunuhnya kononnya untuk mempertahankan diri.

Bagaimanapun, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dakwaan itu bertentangan dengan laporan polis.

Kempen 'perang dadah' yang dilancarkan Duterte pada 2016 telah menyebabkan 5,000 pengedar dadah dibunuh di negara itu. - BBC

Artikel Berkaitan: