Terengganu peruntuk RM300,000 bantuan khas penanam lada

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 bagi membantu penanam lada atau cili besar di seluruh negeri yang terkesan akibat kemerosotan harga barangan itu di pasaran.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, situasi itu berlaku akibat penurunan permintaan seterusnya menyebabkan berlakunya lambakan bahan masakan itu.

"Hasil tinjauan mendapati ramai penanam lada yang terkesan akibat kejatuhan mendadak harga sehingga mencecah RM1.50 sekilogram (kg), malah ada yang terpaksa membiarkan lada rosak di kebun kerana tiada permintaan.

"Keadaan ini menyebabkan kebanyakan petani bukan sekadar tidak beroleh keuntungan malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Azman, bantuan disalurkan itu sebagai suntikan kepada petani untuk dijadikan sebagai modal pusingan bagi tanaman yang diusahakan.

Katanya, maklumat penerima bagi agihan bantuan akan diperoleh melalui data Jabatan Pertanian Terengganu.

"Kerajaan sentiasa mendengar rintihan petani yang berdepan masalah kitaran modal bagi penanaman semula.

"Langkah ini diambil sebagai suntikan kepada kelompok ini untuk bangkit kembali dan bersemangat dalam mendepani keadaan sukar pada musim pandemik Covid-19, " katanya.

Artikel Berkaitan: