Tok Mat sumbang gaji, elaun 6 bulan kepada pusat khidmat DUN

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi membantu masyarakat di kawasan itu yang terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown fasa pertama.

Katanya, beliau akan menulis surat kepada bahagian protokol kerajaan negeri bagi memaklumkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Saya akan meminta kerajaan negeri untuk memasukkan semua gaji dan elaun saya ke akaun yang akan diuruskan oleh Pusat Khidmat DUN Rantau untuk kegunaan penduduk di DUN itu.

"Selama ini pun di Pusat Khidmat kita memang ada membantu rakyat yang memerlukan dari segi keperluan, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, kata Timbalan Presiden UMNO itu, tindakan barisan jemaah menteri dan timbalan untuk tidak mengambil gaji selama tempoh tiga bulan adalah keputusan yang baik, namun ia perlu mempelbagaikan lagi pemotongan termasuk elaun dan imbuhan keraian yang lain.

Katanya, keputusan tidak mengambil gaji bermula Jun ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukannya sekadar gaji semata-mata.

“Keputusan jemaah menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan ini disambut baik, namun ia janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para menteri.

“Kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: