Terengganu peruntuk RM6.4 juta bantu rakyat terkesan 'total lockdown'

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (Berkat 3.0) secara bersasar dengan nilai keseluruhan RM6.4 juta bagi membantu rakyat terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah peruntukan itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu.

Menurut beliau, agihan itu akan dilakukan melalui dua fasa dengan sebanyak RM200,000 akan disalurkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi bulan Jun dan Julai 2021.

"Penangguhan sewaan ini tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi.

"Peminjam Yayasan Terengganu (YT) yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau dan barisan Exco kerajaan negeri akan menyumbang sebulan gaji yang akan dipotong dan dimasukkan ke dalam Tabung Covid-19 Terengganu.

Tambahnya, langkah sama turut diambil penjawat awam dengan menyumbang melalui potongan elaun daripada gaji diterima mereka.

Artikel Berkaitan:

"Usaha kerajaan negeri ini sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosioekonomi rakyat yang terkesan ketika ini.

"Saya juga menyeru semua rakyat supaya mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin bagi mencapai imunisasi kelompok di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Teruskan berdoa dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun lalu, " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Terengganu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.

Katanya, program ini amat dinantikan rakyat Malaysia bagi mengurangkan beban golongan terjejas akibat penutupan beberapa sektor susulan pelaksanaan 'total lockdown' bermula 1 Jun 2021.