Kena PKPD pun masih langgar SOP

Pada Khamis lalu polis telah menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang telah keluar dari rumahnya di Kampung Binjal, Kubang Terap, Pasir Mas dengan memakai gelang pink.
Pada Khamis lalu polis telah menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang telah keluar dari rumahnya di Kampung Binjal, Kubang Terap, Pasir Mas dengan memakai gelang pink.
A
A
A

PASIR MAS - Sikap 'keras kepala' tiga individu yang memakai gelang pink meskipun berada bawah pengawasan (PUS) dengan bertindak keluar dari rumah akhirnya mengundang padah apabila masing-masing dikompaun RM5,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bunut Susu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketiga-tiga individu berusia 27 hingga 19 tahun itu ditahan semasa melalui salah satu sekatan jalan raya (SJR) yang terdapat di kawasan PKPD tersebut dengan menaiki sebuah kenderaan.

"Sejurus ditahan, polis telah melakukan pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga individu terbabit dan mendapati mereka sedang menjalani kuarantin dengan memakai gelang pink," katanya kepada Sinar harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, ketiga-tiga individu terbabit kemudian diberikan kompaun di bawah Perkara 22 (b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2020).

Katanya, pada Khamis lalu polis juga telah menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang keluar dari rumahnya di Kampung Binjal, Kubang Terap, di sini dengan memakai gelang pink.

Mohd Nasaruddin berkata, tangkapan pada jam 5.27 petang itu dibuat selepas gambar lelaki berkenaan yang melanggar SOP tular di media sosial.

Beliau berkata, sejurus mendapat maklumat lengkap sepasukan anggota telah digerakkan untuk membuat serbuan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya patuh kepada SOP dan tidak keluar rumah tanpa sebarang urusan penting sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan: