Kerani, guru diperdaya sindiket 'Macau Scam'

Gambar kecil: Noorzainy
Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang kerani syarikat swasta mengalami kerugian RM17,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari syarikat telekomunikasi dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada Selasa, mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia.

Menurutnya, suspek memaklumkan nama mangsa telah digunakan untuk pendaftaran internet secara tidak sah.

"Mangsa yang terkejut telah menafikan perkara tersebut namun panggilan telefon telah disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban untuk dibuat aduan dan semakan.

"Suspek mendakwa, hasil semakan kad pengenalan mangsa mendapati mangsa terlibat dengan kes penipuan wang haram dan akaun mangsa telah digunakan sebagai penyimpanan wang haram tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, mangsa yang merupakan seorang wanita itu panik lalu mengikut arahan suspek bagi membersihkan namanya dalam rekod polis.

"Mangsa diminta memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan. Mangsa yang panik dan percaya wang akan dikembalikan telah membuat transaksi sebanyak RM17,800 ke akaun bank yang diberi suspek.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia masih diminta untuk membuat bayaran tambahan lalu menceritakan hal ini kepada keluarga. Ahli keluarga mangsa telah meyakinkan mangsa bahawa dia telah ditipu sebelum membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian berlainan, Noorzainy berkata, seorang guru wanita mengalami kerugian RM5,000 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang sama.

Beliau berkata, polis mengesyaki ia perbuatan sindiket yang sama selepas modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu suspek menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari IPK Seremban.

"Mangsa dimaklumkan mempunyai akaun telefon didaftarkan atas namanya yang mana terlibat dengan sindiket judi dalam talian.

"Oleh itu, pihak Telekom terpaksa menutup akaun milik mangsa. Panggilan mangsa disambungkan ke IPK Seremban kononnya untuk dibuat aduan dan semakan.

"Suspek memaklumkan bahawa hasil semakan kad pengenalan, mangsa ada terlibat dengan kes pengubahan wang haram. Mangsa kemudian diugut akan ditangkap dan direman untuk tempoh masa yang lama," katanya.

Tambahnya, suspek turut diugut supaya memberi semua maklumat perbankan secara dalam talian miliknya kepada suspek sekiranya tidak mahu diambil tindakan.

"Mangsa telah menyerahkan semua maklumat akaun miliknya kepada suspek selain diminta memindahkan kesemua wangnya (di akaun bank lain) ke satu akaun bank miliknya sahaja untuk tujuan siasatan.

"Mangsa yang ketakutan dan percaya terus memindahkan wang berjumlah RM5,000. Mangsa hanya sedar ditipu apabila mendapati wang RM5,000 dalam akaun banknya itu dipindahkan ke akaun bank individu lain yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya menceritakan hal itu kepada kenalannya lalu terus membuat laporan polis.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.