Pemilik syarikat hadapi tuduhan ubah wang haram

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM229,000, pada Februari tahun lepas.

S. Vinoad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Dia didakwa memindahkan wang ke dalam akaun simpanan Islamic CIMB Bank Bhd cawangan Bukit Tinggi milik seorang wanita berumur 33 tahun daripada akaun semasa CIMB Bank Bhd cawangan Pelabuhan Klang milik syarikatnya, Five Elements Services bagi dua transaksi berjumlah RM85,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Vinoad juga didakwa memindahkan wang ke dalam akaun simpanan Islamic Hong Leong Bank Bhd cawangan Shah Alam milik bersama seorang wanita berumur 53 tahun dan seorang lelaki berumur 56 tahun daripada akaun bank milik syarikatnya bagi transaksi berjumlah RM144,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di CIMB Bank Bhd cawangan Pelabuhan Klang pada 12 Februari tahun lepas dan dituduh mengikut Subseksyen 4 (1) (b) Akta Pecegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, Vinoad yang diwakili peguam Vemal Arasan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya kes itu dibicarakan bersama satu lagi pertuduhan dihadapi Vinoad di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan serta ikat jamin RM20,000 yang dibenarkan ke atas tertuduh sebelum ini dikekalkan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan itu, Vinoad didakwa menerima wang berjumlah RM1.8 juta kepunyaan seorang lelaki berusia 59 tahun ke dalam akaun bank milik syarikatnya yang mana tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Islamic Bhd, Seksyen 9 di sini pada 9 Februari tahun lepas.

Yang Zaimey kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 16, 19 serta 26 April depan sebagai tarikh perbicaraan. - Bernama