Penjenamaan semula Padang Chetty dapat perkenan Sultan Selangor

Lokasi Padang Chetty telah disenaraikan sebagai sebahagian daripada kawasan Program Jejak Warisan Klang.
Lokasi Padang Chetty telah disenaraikan sebagai sebahagian daripada kawasan Program Jejak Warisan Klang.
A
A
A

KLANG - Penjenamaan semula nama Padang Chetty kepada Dataran Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, lokasi Padang Chetty telah disenaraikan sebagai sebahagian daripada kawasan Program Jejak Warisan Klang dan turut menjadi lokasi titik permulaan bagi pelaksanaan Royal Klang Town Heritage Walk.

Ahmad Fadzli berkata, melalui Program Jejak Warisan Klang itu, sebanyak 11 lokasi tempat menarik menampilkan deretan ikon popular di sini telah dikenalpasti oleh MPK.

"Tempat-tempat bersejarah dan menarik ini merupakan salah satu inisiatif bagi membawa Klang menuju ke arah bandar raya warisan melalui Royal Klang Heritage Walk.

"Walau bagaimanapun, sebuah kawasan perlu dijadikan titik permulaan bagi usaha ini dan Padang Chetty merupakan sebahagian daripada kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Klang, Nallan Dhanabalan menerusi satu kenyataan menggesa kerajaan negeri Selangor untuk mengekalkan nama Padang Chetty bagi memelihara nilai sejarah di negeri ini.

Menurut beliau, isu penukaran nama itu telah berlarutan sejak sekian lama dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri memandangkan nama padang berkenaan telah digunakan sejak 100 tahun lalu.

Pada April lalu, MPK dan Arkib Negara Malaysia turut menandatangani nota kerjasama berhubung perkongsian khidmat nasihat membabitkan maklumat sejarah dan rekod bahan berkaitan daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama itu merupakan antara usaha bagi mencalonkan Klang sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam pada itu, Ahmad Fadzli berkata, pihaknya akan memperhalusi lagi mengenai penukaran nama padang itu dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Fokus utama MPK adalah untuk mengangkat martabat warisan ke arah menjadikan Klang sebagai Bandaraya Diraja Warisan," katanya.