Projek LRA Mini Teluk Mesira berjalan seperti biasa

Kakitangan Syarikat NR Chemical & Organic Industri (M) Sdn Bhd membuat tinjauan di LRA Mini di Teluk Mesira, Bachok.
Kakitangan Syarikat NR Chemical & Organic Industri (M) Sdn Bhd membuat tinjauan di LRA Mini di Teluk Mesira, Bachok.
A
A
A

SYARIKAT NR Chemical & Organic Industri (M) Sdn Bhd menafikan dakwaan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mini di Teluk Mesira di sini terbengkalai.

Ketua Pegawai Kewangan, Wan Subki Wan Omar berkata, kerja-kerja pembinaan projek itu berjalan seperti biasa, namun berlaku sedikit kelewatan di luar jangka disebabkan beberapa faktor seperti struktur tanah yang lembut, permohonan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami mengambil masa tiga bulan untuk melakukan kerja-kerja mengukuhkan struktur tanah yang lembut, mendapatkan permohonan daripada PBT dan kerja-kerja menanam cerucuk di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, faktor cuaca musim tengkujuh pada November dan Disember lalu turut merencatkan gerak kerja pembinaan projek.

Katanya, bagaimanapun projek tersebut tetap berjalan bagi memastikan ia dapat disiapkan sebagaimana ditetapkan iaitu dalam tempoh enam bulan.

Wan Subki berkata, gerak kerja berterusan itu membuktikan dakwaan mengenai projek itu terbelangkalai kurang tepat.

Beliau berkata, walaupun projek LRA itu masih berjalan, pihaknya tetap membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk setempat.

Kakitangan Syarikat NR Chemical & Organic Industri (M) Sdn Bhd menunjukkan kualiti air yang dibekalkan kepada penduduk.
Kakitangan Syarikat NR Chemical & Organic Industri (M) Sdn Bhd menunjukkan kualiti air yang dibekalkan kepada penduduk.

“Kami menyediakan tangki untuk kemudahan penduduk mendapatkan bekalan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut menyediakan tangki statik bagi melancarkan urusan membekalkan air kepada penduduk setempat,” katanya.

Difahamkan projek LRA Mini di Teluk Mesira itu sepatutnya siap pada April lalu.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan Taman Mesira mendapati terdapat tangki statik yang telah disediakan untuk kemudahan penduduk mendapatkan bekalan air bersih.

Sementara itu, seorang penduduk, Rafeah Ismail, 54, mengakui tidak terbeban sekiranya bekalan air sentiasa dibekalkan kepada orang ramai secara berkala.

“Kalau air tidak cukup itu masalah buat kami. Jadi saya berharap supaya bekalan tiba tepat pada masa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Jawahir Abdul Rahman, 61, berkata, gangguan bekalan air di kawasan itu sudah berlarutan hampir tiga tahun.

Dia kini bergantung sepenuhnya kepada penggunaan tangki statik yang disediakan oleh pihak berwajib.

“Saya berharap agar projek ini dapat disiapkan dengan segera bagi menyelesaikan masalah penduduk setempat,” katanya.