MB Perak, Exco sumbang gaji untuk Tabung Covid-19

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan pemotongan gaji selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19.

Menurutnya, langkah itu turut diikuti 10 Exco Kerajaan Negeri dalam usaha memerangi pandemik yang melanda negara ketika ini.

"Hasil keputusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, saya bersama 10 lagi Exco bersetuju untuk sumbangkan sebulan gaji masing-masing selama tiga bulan.

"Potongan gaji ini untuk kita sumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19. Bagi Setiausaha Kerajaan negeri dan lain-lain, ia tertakluk di bawah penjawat awam," katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Pada masa sama, Saarani turut mengumumkan kelulusan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera berjumlah RM19.5 juta

"Ini adalah bagi menghadapi impak pandemik Covid-19 termasuk penutupan sektor sosial dan ekonomi yang dilaksanakan selama dua minggu sehingga 14 Jun ini.

"Fokus utama pakej itu diluluskan adalah untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat yang terjejas termasuk keluarga miskin dalam kalangan B40, gelandangan, penjaja dan peniaga kecil, belia, petani dan operator-operator sektor pelancongan yang terkesan," katanya.

Menurutnya, pengecualian bayaran dan moratorium adalah selama sebulan bagi tempoh bulan Jun ini.

Artikel Berkaitan:

"Pengecualian Sewaan Rancangan Perumahan, pengecualian sewaan gerai di bawah semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bantuan sekali bayar atau 'one-off' RM300 kepada 47,226 penjaja dan peniaga kecil yang berlesen.

"Moratorium turut diberikan bagi bayaran balik Pinjaman Pengajian Tinggi Perak," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM750,000 bagi penubuhan Pusat Penempatan Gelandangan Sementara di Kinta.

"Bagi sektor pelancongan pula, pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel diberikan selain bantuan khas sekali bayar kepada Persatuan Hotel Malaysia Perak, Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ), pengurusan homestay, pemandu bot pelancongan.

"Baucar Pelancongan #TravelPeraklah Fasa 4 diberikan kepada Persatuan Pengusaha Spa Negeri Perak dan PUHAZ," katanya.

Saarani berkata, pelbagai program diadakan untuk mereka yang terlibat dalam pertanian dan perikanan selain bantuan kotak makanan kepada nelayan darat yang terjejas.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada lapan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi tujuan penyediaan bantuan barangan keperluan makanan kepada golongan yang terjejas sepanjang 'lockdown'.

"Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi daerah PDT Manjung dan masing-masing RM200,000 untuk PDT Kerian, Batang Padang, Hilir Perak, Selama, Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Kampar.

"Selain RM200,000 lagi adalah peruntukan tambahan kepada PDT Hulu Perak," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan penyaluran bantuan sebanyak RM1.2 juta kepada empat PDT yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD iaitu PDT Kinta (RM400,000) dan masing-masing RM200,000 untuk PDT Hulu Perak, Larut Matang dan Selama serta Muallim.