X

Kindly register in order to view this article
!

MAIK peruntuk RM9.78 juta bantu golongan terjejas

Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM9.78 juta bagi membantu golongan yang terjejas sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 hingga 14 Jun menerusi Program Prihatin MAIK.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu melibatkan enam kluster iaitu bantuan khas kepada asnaf fakir miskin, elaun Pegawai Masjid (termasuk sumbangan asnaf melalui pihak masjid), sumbangan barangan dan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap jajahan, bantuan kepada masyarakat orang asli termasuk guru agama orang asli, sumbangan peralatan kesihatan bagi membantu merawat pesakit Covid-19 dan peruntukan pembaikian, menaiktaraf masjid negeri, bandar, mukim serta surau seluruh negeri.

"Daripada jumlah tersebut bantuan khas kepada asnaf fakir miskin membabitkan peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM3.7 juta merangkumi bantuan tetap bulanan, bantuan am dan bantuan rawatan perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan MAIK bagi elaun pegawai masjid termasuk sumbangan asnaf melalui pihak masjid.

Beliau berkata, bagi sumbangan barangan dan makanan kepada petugas barisan hadapan di PPV setiap jajahan MAIK memperuntukkan sumbangan berjumlah RM100,000.

Tengku Mohamad Rizam berkata, bantuan kepada masyarakat orang asli termasuk guru agama orang asli tidak dilupakan dan ia melibatkan peruntukan berjumlah RM436,180.

Katanya, MAIK turut memberikan sumbangan peralatan kesihatan bagi membantu merawat pesakit Covid-19 kepada pihak hospital berjumlah RM47,800.

"Sebanyak RM3.1 juta turut diperuntukkan bagi tujuan pembaikan, menaik taraf masjid negeri, bandar, mukim serta surau seluruh negeri.

"Secara tuntasnya, melalui program ini (Program Prihatin MAIK Covid-19) ia melibatkan empat fasa dengan nilaian keseluruhan berjumlah RM 33.4 juta," katanya.

Menurutnya, di sebalik sumbangan yang disalurkan itu terdapat 'hero' yang tidak didendangkan iaitu para pembayar zakat, pewakaf dan mereka yang menginfakkan harta melalui MAIK.

"Penghargaan harus diberikan kepada semua ‘Hero Asnaf’ itu.

"Semoga kita terus dilindungi ALLAH daripada segala bala dan ujian yang menimpa dan segera dibuka jalan keluar daripada kesulitan ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!