Sila log masuk terlebih dahulu.

Dijangkiti Covid-19 ketika asuh anak saudara

PKRC-ILP di Pengkalan Chepa Kota Bharu yang menempatkan Wan Marina dan ibunya sentiasa diawasi oleh kumpulan pegawai perubatan diketuai Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan).
PKRC-ILP di Pengkalan Chepa Kota Bharu yang menempatkan Wan Marina dan ibunya sentiasa diawasi oleh kumpulan pegawai perubatan diketuai Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita dan ibunya terpaksa menjalani Sekatan Pergerakan Penuh di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah - Institusi Latihan Perindustrian (PKRC-ILP) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini berikutan mendapat jangkitan Covid-19 ketika mengasuh anak saudara selepas pulang dari tadika.

Wan Marina Wan Mansor, 38, berkata, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu dihantar oleh ibu bapanya dari tempat tinggal di Kubang Kerian ke sebuah tadika di Panchor, Pengkalan Chepa bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.

Katanya, anak sulung daripada dua beradik itu kemudian dibawa ke rumah nenek, Munah Ishak, 68, di Padang Tembak, Pengkalan Chepa selepas tamat sesi pembelajaran.

“Ibu yang sebenarnya mengasuh cucu manakala saya tinggal bersama kadang-kala membantu menyuapkan makanan atau memandikan anak saudara.

“Dia dan kami sihat. Sehinggalah ibu kanak-kanak itu mengalami selesema dan kemudian menjalani swab sebelum disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, mereka terdiri daripada lapan ahli keluarga yang menjadi kontak rapat diarah swab dengan enam didapati positif termasuk seorang bayi perempuan yang berusia empat bulan iaitu adik kepada kanak-kanak lelaki terbabit.

“Bayi dijaga oleh pengasuh lain di Kubang Kerian yang sebelumnya sudah mengalami demam sebelum disahkan positif Covid-19.

“Dua beradik itu bersama ibu bapa mereka dikuarantin di rumah di Kubang Kerian manakala saya dan nenek kanak-kanak itu ditempatkan di PKRC-ILP sejak Isnin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, abang kandung berusia 41 tahun dan anak yang berusia setahun lima bulan didapati negatif serta kekal di rumah di Padang Tembak.

“Saya bergejala demam dan berasa 'tebal' lidah menyebabkan tidak selesa untuk makan sementara ibu yang berpenyakit kronik strok, darah tinggi dan asma pula bersimptom batuk.

“Pesanan saya kepada orang ramai supaya terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan ambil suntikan vaksin kerana Covid-19 tidak mengenal siapa untuk menyerang dan masih belum ada ubatnya,” katanya.