Guna surat rentas negeri palsu seludup dadah bernilai RM7.2j

Abdul Majid (dua dari kanan) dan Razali (kanan) menunjukkan sebahagian bekalan dadah yang dirampas ketika ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang pada Rabu.
Abdul Majid (dua dari kanan) dan Razali (kanan) menunjukkan sebahagian bekalan dadah yang dirampas ketika ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Tindakan sekumpulan penjenayah yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan surat rentas negeri palsu akhirnya membongkarkan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM7.2juta pada Isnin lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, penahanan seorang lelaki dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV​) jenis Toyota Harrier di kawasan tepi pantai Klebang pada jam 12.15 tengah malam berjaya menemui dadah seberat 142.22 kilogram (kg) termasuk 83.084 kg syabu dan 59.14 kg pil ekstasi dalam kenderaan terbabit.

Menurut beliau, susulan itu enam individu berusia 25 hingga 52 tahun dipercayai ahli sindiket termasuk seorang wanita warganegara Vitenam yang turut berada berhampiran kenderaan terbabit ditahan.

Katanya, kumpulan sindiket yang mula aktif tiga bulan lalu itu dipercayai membawa bekalan dadah dari Selangor sebelum menjadikan Melaka sebagai negeri transit untuk menyeludup keluar bekalan dadah terbabit negara jiran melalui jalan laut.

"Ini merupakan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah yang didalangi warga tempatan, kita yakin kesemua bekalan dadah itu dipercayai untuk pasaran luar dan bukannya untuk kegunaan negeri ini.

"Semakan surat rentas negeri yang digunakan adalah palsu berdasarkan tiada nombor siri, mereka memberikan alasan merentas negeri untuk berniaga dalam sektor perladangan dan komoditi," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, nilai keseluruhan sitaan bahan yang dirampas berjumlah RM64,078 termasuk dua buah kenderaan bernilai RM58,000, jam tangan RM4,000, barang kemas RM1,218 dan wang tunai RM860.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Majid, bekalan syabu itu mampu dibekalkan kepada 170,000 penagih sementara pil ekstasi pula kepada 198,000 penagih.

Katanya, kesemua ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

"Kejayaan ini hasil maklumat orang awam serta perkongsian maklumat di antara pegawai dan anggota polis dalam usaha membanteras sebarang aktiviti jenayah dengan lebih berkesan," katanya.