Hari pertama 'total lockdown' dah kena kompaun

Lima lelaki dan empat wanita dikenakan kompaun RM1,500 kerana bermain judi pada Selasa.
Lima lelaki dan empat wanita dikenakan kompaun RM1,500 kerana bermain judi pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS - Enam lelaki dikenakan kompaun RM5,000 seorang pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau total 'lockdown' kerana cuba melakukan pergerakan rentas daerah tanpa kebenaran di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua yang dikompaun berusia lingkungan 24 hingga 65 tahun itu didapati tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah ketika pemeriksaan dijalankan dalam sekatan jalan raya.

Menurut beliau, sepanjang hari pertama pelaksanaan 'total lockdown', pihaknya mengeluarkan 17 kompaun terhadap 15 individu dengan jumlah keseluruhan RM46,000.

"Keenam-enam lelaki tersebut dikenakan kompaun kerana tiada surat kebenaran merentas daerah selain memberi alasan yang tidak munasabah ketika pemeriksaan dibuat. Mereka dikompaun dalam sekatan jalan raya di antara jam 11 pagi hingga 3 petang semalam (Selasa).

"Mereka didapati melakukan kesalahan itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh yang menyebabkan dikenakan bayaran kompaun RM5,000 setiap seorang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Noorzainy berkata, dalam operasi pemantauan pematuhan SOP pula, lima lelaki dan empat wanita dikompaun RM1,500 kerana didapati bermain judi di Pusat Perniagaan Raja Uda, Butterworth.

"Salah seorang daripada mereka adalah pemilik premis yang juga penganjur kepada kegiatan judi tersebut. Dia dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana menganjurkan aktiviti yang tidak dibenarkan ketika 'total lockdown'.

"Kesemua yang dikompaun berusia lingkungan 30 hingga 50-an kerana berkumpul dan tiada penjarakan sosial. Kita merampas beberapa peralatan bermain judi dan wang tunai RM814. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1963," katanya.

Artikel Berkaitan: