Trend majikan bukan Islam pilih telekung sebagai hadiah

Majikan bukan Islam antara pelanggan yang kerap membeli telekung untuk dihadiahkan kepada pekerja yang beragama Islam terutama ketika sambutan perayaan.
Gambar kecil: Anum Samsudin
Majikan bukan Islam antara pelanggan yang kerap membeli telekung untuk dihadiahkan kepada pekerja yang beragama Islam terutama ketika sambutan perayaan. Gambar kecil: Anum Samsudin
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan bukan Islam antara pelanggan yang kerap membeli telekung untuk dihadiahkan kepada pekerja yang beragama Islam terutama ketika sambutan perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliya, Anum Samsudin berkata, perkara tersebut merupakan satu trend pembelian yang dikenalpasti pada setiap tahun.

“Selalunya mereka akan membeli lebih daripada 20 helai telekung pada satu-satu masa.

“Saya kira ini merupakan satu fenomena unik apabila majikan bukan Islam membeli telekung buat pekerja mereka yang beragama Islam. Kalau majikan Islam yang beli, ia satu perkara biasa,” katanya ketika ditemui di pejabat Zara Awliya, U12 Cahaya Alam di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anum berkata, selain majikan, ada juga individu lain yang bukan Islam membeli telekung sebagai hadiah hari jadi.

“Ini termasuklah mereka membeli telekung ini kepada rakan baiknya yang beragama Islam sebagai pemberian istimewa sempena ulang tahun kelahiran.

“Kami juga pernah berjumpa dengan pelanggan dari Sabah yang mana dia bukan Islam tetapi dia belikan untuk mak dia yang sudah masuk Islam,” ujarnya.

Zara Awliya ditubuhkan pada tahun 2013 dengan menawarkan lebih daripada 10 jenis telekung bermula seawal usia kanak-kanak sehingga dewasa.

Artikel Berkaitan:

Dari segi pemilihan material telekung pula, majoritinya diimport dari Korea dan China yang mana diperbuat daripada fabrik kapas dan sutera premium.

Anum berkata, kesemua telekung tersebut sesuai dan mudah dibawa kerana didatangi dengan saiz beg yang sangat unik dan menarik.

“Selain itu, ia juga kelihatan unik apabila telekung diletakkan di dalam sebuah kotak berserta kad ucapan. Ini yang nampak lain dari yang lain,” katanya.

Walaupun Zara Awliya mempunyai satu cawangan sahaja, namun butik tersebut berjaya mewujudkan lebih 1800 dropship (DS) dan ejen (AG) di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei serta Filipina.

Ketika ditanya mengenai strategi pemasaran, pemilik butik tersebut berkata, pihaknya akan menghasilkan produk yang berkualiti dengan menawarkan harga berpatutan selain menguasai pemasaran digital seiring dengan keadaan semasa.

“Untuk kekalkan jenama ini juga sebenarnya tidak susah. Kita hanya perlu ikut tingkah laku (behavior) pembeli sekarang yang mana perlu memperkuatkan platform dalam talian untuk membuatkan lebih ramai prospek dapat jumpa jenama dan produk kami di sosial media.

“Selain itu, kami juga akan memperkuatkan Searching Engine Optimization (SEO) yang mampu mempromosi dan meningkatkan trafik laman web dan butik kami,” katanya.