'Total lockdown': Polis Pontian tutup tujuh laluan tikus

Polis menutup jalan kampung yang menjadi antara laluan tikus menuju ke Felda Bukit Batu Kulai dari Pontian.
Polis menutup jalan kampung yang menjadi antara laluan tikus menuju ke Felda Bukit Batu Kulai dari Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menutup tujuh 'laluan tikus' di Benut dan Ayer Baloi yang berpotensi menjadi laluan alternatif sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kesemua laluan itu akan dipasang penghadang jalan bagi mengelak pergerakan penduduk merentas daerah.

Menurut beliau, kerja-kerja memasang penghadang jalan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Bagi memastikan penduduk di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, satu pasukan 'task force' ditubuhkan.

"Pasukan ini diketuai seorang pegawai dan 13 anggotanya melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Mustafa, pihaknya tidak bercadang untuk menambah sekatan jalan raya (SJR) yang kini terdapat di tiga lokasi iaitu di Pekan Nanas, Kampung Parit Panjang dan di depan Balai Polis Benut.

"Tiga SJR di lokasi tersebut iaitu bagi laluan ke Johor Bahru, Kulai dan ke Batu Pahat akan dikekalkan.

"Bagi penugasan anggota di SJR, seramai tiga pegawai kanan, 42 anggota dan 18 anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) terlibat, sementara penglibatan keseluruhan kekuatan pasukan untuk Sekatan Pergerakan Penuh adalah 143 orang iaitu 10 pegawai, 95 anggota dan 38 anggota Rela," katanya.

Artikel Berkaitan: