Covid-19: Cegah dulu, hospital cuma keperluan terakhir

Wacana Sinar Harian Siri ke-261 bertajuk ‘Total Lockdown: Jalan Terakhir Cegah Covid-19? menampilkan Dr Zainal, Dr Noor Azlan dan Dr Dzulkefly sebagai panelis manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Wacana Sinar Harian Siri ke-261 bertajuk ‘Total Lockdown: Jalan Terakhir Cegah Covid-19? menampilkan Dr Zainal, Dr Noor Azlan dan Dr Dzulkefly sebagai panelis manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) hanya keperluan terakhir sebaliknya pencegahan daripada berlakunya jangkitan Covid-19 adalah langkah paling perlu dalam usaha memutuskan penularan pandemik itu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah utama dan paling penting adalah pencegahan awal daripada berlakunya kes jangkitan Covid-19.

"Dalam perang menangani pandemik Covid-19 ini kita selalu menekankan keperluan ke hospital, ICU, PKRC dan sebagainya. Itu adalah (langkah) di 'hujung jalan' untuk kita menangani pandemik.

"Pertama dan paling penting ialah mencegah kes berlaku supaya kita tidak (ke) hospital. Jadi 'frontlines' yang sebenarnya berada di klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan komuniti.

"Jika kita dapat menangani kes-kes dalam komuniti, kes akan berkurangan di hospital dan di ICU. Jadi, itu yang kita kena tegaskan," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-261 bertajuk ‘Total Lockdown: Jalan Terakhir Cegah Covid-19? disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa malam.

Wacana turut menampilkan Profesor Ekonomi Graduate School Of Business (UKM-GSB), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga sebagai panelis manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Dalam pada itu, Dr Zainal berpandangan, tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah terlalu pendek bagi memutuskan rantaian Covid-19 namun tidak mustahil keputusan positif mampu diperoleh jika rakyat Malaysia berdisiplin.

"Kalau kita buat betul betul kita akan nampak sedikit signifikan kemudian kita mungkin perlu satu bulan untuk mendapatkan keputusan lebih ketara, lebih signifikan dan mungkin kita ambil masa dua hingga tiga bulan untuk landaikan terus sehingga kes dua atau tiga digit.

Artikel Berkaitan:

"Maknanya kita kena buat betul betul penjarakan sosial, tidak berkumpul, memakai mask (pelitup muka) dan sebagainya. Kemudian dilengkapi dengan suntikan vaksin," katanya.

Sementara itu, seorang lagi panel, Dr Noor Azlan mengakui penerapan disiplin dalam diri setiap individu menjadi faktor paling penting bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 tercapai.

Beliau berkata, dengan disiplin tinggi termasuk menahan diri tidak keluar dari rumah, adalah tidak mustahil dalam tempoh "lockdown" dua minggu ini peningkatan kes Covid-19 dalam negara akan dapat dikurangkan.

"Covid-19 ini adalah ujian disiplin kita. Itu sebenarnya jawapan lebih tepat. Kalaulah manusia boleh dibekukan sebentar, tidak boleh bergerak ke mana-mana saya ingat dalam dua, tiga minggu selesailah masalah (peningkatan kes Covid-19) ini tetapi naluri manusia bukan begitu," katanya.

Beliau turut menyarankan rakyat di Malaysia mengambil pendekatan tersebut dalam tempoh "lockdown" dan hanya keluar rumah kerana urusan penting dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin.

"Sekiranya kita boleh betul-betul tidak keluar rumah dalam masa dua minggu ini silakan tetapi kalau kita perlu keluar atas keperluan utama dan penting, kita perlu memastikan SOP diikuti sebaik mungkin.

"Kita semua perlu berwaspada kerana ujian ini adalah masa untuk kita bersama. Bagi saya kerajaan ada peranan, kerajaan telah mengumumkan pakej (bantuan dan rangsangan ekonomi). Adakah ia cukup sepenuhnya?

"Tetapi saya juga ingin berkongsi supaya kita semua menyedari hal ini bahawa sehingga kini sudah RM380 bilion diperuntukkan oleh kerajaan," katanya lagi.

Beliau berpandangan peruntukan kerajaan menerusi pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebanyak RM380 billion itu sudah pastinya akan memberi kesan kepada pendapatan negara dan rakyat dalam masa agak panjang.

Menurutnya, pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dikeluarkan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 juga jauh lebih besar berbanding peruntukan dikeluarkan dalam menangani dua krisis ekonomi sebelum ini.

"Sehingga kini kalau mengikut jumlah pakej yang dikeluarkan totalnya adalah RM380 billion. (Jumlah) RM380 bilion ini kalau ramai yang mungkin seumur (sama umur) dengan saya masih ingat krisis Asia Timur 1997 dan 1998 kita belanjakan RM7 bilion," katanya.

Menurutnya, ketika "global financial crisis" pada 2008 - 2009 pula kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM67 bilion namun bagi menghadapi krisis kesihatan yang melanda iaitu ancaman Covid-19 ketika ini kerajaan telah membelanjakan RM380 billion.

"Sebagai ahli ekonomi, kami meneliti dan melihat kesan-kesannya dari segi pendapatan negara dan dari segi pendapatan rakyat. Saya juga kira (perkiraan secara) mudahnya 400,000 dan mungkin 600,000 rakyat yang sebelum ini berada dalam kategori M40 kali ini pendapatan mereka telah jatuh kepada kurang daripada garis B40.

"Jadi ini bererti (akan) selesai satu masalah pandemik (Covid-19). tetapi masalah ekonomi saya kira akan meninggalkan parut yang mungkin agak lama dan kita kena bersedia dalam kedua-dua konteks ini.

"Apa pun nyawa tetap satu yang paling utama (berbanding kesan ekonomi)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Katil ICU Lembah Klang cecah 113 peratus: Dr Noor Hisham