Terengganu hasrat buka kaunter vaksin di masjid: Exco Negeri

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu berhasrat untuk membuka kaunter suntikan vaksin Covid-19 di masjid terpilih bagi memudahkan para penerima mendapatkan suntikan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pihaknya sedang berusaha untuk melaksanakannya di sebuah masjid bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, pihaknya perlu mengatasi masalah kekangan sumber manusia daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merealisasikan cadangan itu.

“Cuma kekangan kita pada hari ini, tenaga dari Jabatan Kesihatan sendiri tidak cukup kerana banyak sangat kerja, dengan menjaga pusat kuarantin, jaga hospital dan wad.

Jadi sudah penuh melainkan kita mendapat bantuan daripada NGO dan pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih 100 klinik swasta di negeri itu telah ditawarkan untuk menjadi ejen pemberian suntikan vaksin Covid-19 .

Bagaimanapun hanya empat klinik setakat ini sudah bersetuju memberikan kerjasama dan menawarkan perkhidmatan tersebut.

Terdahulu, kira-kira 10,000 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 didapati gagal menghadiri sesi janji temu vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata penerima daripada golongan warga emas memberi alasan terlupa tarikh janji temu dan tiada kenderaan untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan. - Astro Awani