Mengaku bersalah culik anak saudara

Abd Rahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim, hari ini.
Abd Rahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim, hari ini.
A
A
A

KULIM - Seorang penganggur yang menculik anak saudara berusia 7 tahun di Taman Serai Wangi pada 9 Februari lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Abd Rahim Osman,35, tidak diwakili peguam mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Hakim, Musyiri Peet.

Bagi pertuduhan pertama, Abd Rahim didakwa menculik anak saudaranya Wan Nur Ainul Darwisyah Amri di alamat 866 Lorong 1/2 Taman Serai Wangi, Kulim kira-kira jam 6 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Wan Nur Ainul Darwisyah menggunakan pisau di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alif Farhan Hassan meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan serius selain bimbang keselamatan mangsa dan keluarganya.

Mahkamah yang bersetuju kemudian memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin sebelum menetapkan Rabu depan untuk mendengar fakta kes dan jatuh hukum.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang penagih bertindak menculik anak saudara sendiri sebelum mengurung dalam tandas kira-kira lima jam kerana berang tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan cedera di leher dan belakang badang akibat torehan pisau ketika dikurung suspek selain seorang pegawai polis turut mengalami kecederaan ketika bergelut dengan suspek.

Dia sebelum itu sanggup menunggang motosikal jenis EX5 dari Felda Ijok, Perak ke rumah kakaknya di taman perumahan tersebut.