Op Penawar: 3,300 anggota ATM bantu PDRM

Seramai 3,300 anggota ATM diatur gerak bagi membantu PDRM dalam penugasan SJR, pos statik dan rondaan MPV di seluruh negara. - Gambar hiasan Bernama
Seramai 3,300 anggota ATM diatur gerak bagi membantu PDRM dalam penugasan SJR, pos statik dan rondaan MPV di seluruh negara. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, tindakan melalui pelaksanaan Op Penawar itu melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

" Atur gerak dan kesiapsiagaan ini turut meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang telah diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi Op Benteng pula, dengan kerjasama semua agensi keselamatan, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) berjaya memperketatkan kawalan sempadan darat, laut dan udara di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi berikutan kegiatan pencerobohan adalah saling berkait dengan jenayah rentas sempadan yang lain.

"Secara keseluruhannya, melalui Op Benteng di seluruh negara, seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin daripada membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus,” katanya.

Menurutnya, seramai 15,759 individu ditahan terdiri daripada pendatang tanpa izin, tekong dan penyeludup sejak 6 Mei hingga Isnin.

Katanya, terdapat sejumlah 8,617 pelaporan melibatkan 5,221 kes tangkapan, 1,593 kes rampasan, 379 pengusiran dan 1,421 kes penglihatan melibatkan nilai rampasan dianggar RM528.6 juta.

Beliau berkata bagi tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini, pergerakan keluar masuk pendatang tanpa izin dijangka meningkat berterusan melalui lorong tikus selain berlakunya kegiatan jenayah rentas sempadan di utara Semenanjung serta sempadan Sarawak-Kalimantan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, NTF akan memastikan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang terlibat bersiap siaga dalam segala aspek bagi menjaga sempadan negara dalam memastikan tiada pendatang tanpa izin dan kegiatan jenayah rentas sempadan berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Medan ATM di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Mei lepas dengan kapasiti 24 katil.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ATM telah selesai memberikan 112,348 dos vaksin kepada 56,174 pegawai dan anggota ATM setakat ini berdasarkan bidang penugasan dan kawasan berisiko tempat bertugas termasuk petugas pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Markas NTF.

"Pada Jun ini, ATM akan menerima 81,900 dos vaksin bagi meneruskan program vaksinasi kepada anggota ATM, selain ATM dijangka menerima kuota tambahan vaksin untuk diberikan kepada veteran ATM dan ahli keluarga warga ATM,” katanya. - Bernama