Jutawan muda bantu rakyat Malaysia terjejas jana pendapatan

Sistem e-dagang ODAJER dimiliki oleh Muhammad Amar Mirza yang diberikan secara percuma selama setahun bermula.
Sistem e-dagang ODAJER dimiliki oleh Muhammad Amar Mirza yang diberikan secara percuma selama setahun bermula.
A
A
A

KOTA BHARU - Jutawan muda pemilik sistem e-dagang ODAJER sekali lagi bermurah hati menyediakan 100,000 slot kedai online secara percuma bernilai RM250 juta bagi membantu rakyat terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Slot berkenaan bermula pada Selasa selaras dengan Sekatan Pergerakan Penuh seluruh negara.

Pemuda dari Pasir Tumbuh, Kota Bharu itu, Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, 27, berkata, bantuan disalurkan melalui Skim Onlinekan Perniagaan (SOP) yang akan diberikan setahun sehingga 1 Jun 2022.

Katanya, permohonan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama golongan peniaga kecil yang hilang pendapatan atau sukar mencari rezeki ketika ini.

“Kempen sistem ini mudah untuk dimohon hanya perlu tekan link odajer.my dan daftar pengguna baharu kemudian boleh terus berniaga.

“Tiada syarat rumit dikenakan kerana niat kami mahu berkongsi dan membantu sesiapa saja yang terjejas ketika ancaman Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada pada Selasa.

Muhammad Amar Mirza menunjukkan sistem e-dagang ODAJER percuma sebanyak 100,000 slot kepada seluruh rakyat Malaysia bagi membantu mereka mendapatkan pendapatan secara perniagaan atas talian selama setahun.
Muhammad Amar Mirza menunjukkan sistem e-dagang ODAJER percuma sebanyak 100,000 slot kepada seluruh rakyat Malaysia bagi membantu mereka mendapatkan pendapatan secara perniagaan atas talian selama setahun.

Beliau berkata, bantuan itu selaras dengan kerajaan yang membenarkan aktiviti jualan secara e-dagang sepanjang perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bertujuan memutuskan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“ODAJER akan memudahkan lagi urusan jual beli secara atas talian melibatkan khidmat pelanggan secara maksimum dan pada masa sama dapat mengelak kontak rapat antara peniaga dengan pembeli.

“Platform ODAJER juga sangat mudah digunakan dan sesuai kepada semua jenis perniagaan termasuk produk makanan, kesihatan, kelengkapan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban rakyat dan mengembalikan semangat untuk terus mencari nafkah untuk keluarga.

“Kami berharap dengan memperkasakan perniagaan secara atas talian ini dapat memulihkan negara daripada pandemik sekali gus merancakkan kembali ekonomi penduduk,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sepanjang Ramadan lalu sebanyak 10,000 slot bazar online secara percuma diberikan menerusi sistem e-dagang ODAJER.

Bantuan persendirian itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai seterusnya membantu mereka memulihkan pendapatan yang terjejas ketika negara menghadapi Covid-19.