X

Kindly register in order to view this article
!

Antara jalan bengkok dan lurus

A
A

APABILA memandu ke destinasi yang jauh, ramai antara kita lebih gemar memilih lebuh raya. Lebuh raya menyediakan jalan yang lurus dan luas.

Ada lorong laju, lorong untuk kenderaan perlahan, malah ada lorong kecemasan.

Jika penat, kita boleh sahaja berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan.

Jika hendak bersantai, boleh sahaja keluar dari lebuh raya memasuki jalan negeri ke pekan-pekan berhampiran untuk makan-makan dan bersolat.

Begitupun, ada yang tidak menggemari jalan lebuh raya kerana ia membosankan.

Oleh sebab jalannya lebar, kita yang memandu berasa kenderaan yang dibawa bergerak begitu perlahan.

Sebab itu, ramai yang memecut untuk mendapatkan feel yang keretanya sedang bergerak laju.

Pemandangan di lebuh raya lazimnya membosankan. Walaupun kelihatan cantik, bukit, gunung serta langit hanya dapat dilihat dari jauh.

Kenderaan yang dipandu dengan gear lima dengan kelajuan sama ini mudah membuatkan kita berasa jemu. Mata berasa penat dan rasa mengantuk pun datang.

Sebaliknya, apabila kita memandu di jalan persekutuan, negeri mahupun jalan kampung, jalannya tentulah tidak selurus lebuh raya.

Malah, jalannya berbelok dan berselekoh, mendaki dan menuruni, berlopak dan berkerikil.

Untuk si pemandu, ia barangkali mencabar dan kadangkala payah. Bagi teman penumpang yang hendak tidur pula, lenanya tak mungkin dirasa.

Betapa pun, jalan yang begini juga menjadi keseronokan buat yang mahukan thrill memandu kerana ia menguji kemahiran mengendalikan kenderaan.

Yang pasti, jalan begini tidak mungkin membuatkan mata si pemandu jadi mengantuk. Sebaliknya dia akan berasa segar di sepanjang perjalanan.

Secara logiknya dia akan berasa terlebih penat daripada menggunakan lebuh raya.

Dia penat membrek dan menekan minyak, memutar stereng mengelak lopak dan lembu, terintai-intai dari belakang bas sebelum dapat memotong dan memecut, hanya untuk mengeluh kerana terpaksa mengekor di belakang konvoi lori treler pula.

Dia letih, seronok tetapi dia perlukan masa yang lebih lama untuk berehat.

Apa yang perlu dibuat apabila sampai ke destinasi boleh tertangguh kerana barangkali dia terpaksa membayar rehatnya dengan tidur yang lebih panjang. Mencabar

Begitulah kita. Kita tahu jalan hidup yang mudah dan pendek itu lebih cepat dan lebih selamat.

Tetapi kita memilih jalan yang lebih sukar yang dilihat lebih mencabar. Oleh sebab mencari sesuatu yang sentiasa mencabar itu, benda yang mudah menjadi sukar.

Dek kerana asyik menangani cabaran yang dicari itu, masa kita selalunya terbuang.

Mudah kata, cara menjaga tubuh badan daripada obes ialah dengan memilih makanan asas yang simple.

Makan buah, makan sayur, sedikit karbohidrat dan protein. Tetapi kita memilih untuk makan apa sahaja yang disediakan melalui pelbagai teknik masakan yang tentunya berkalori tinggi.

Dalam menjalani hidup ini, kita mencari ilmu, bekerja dan berkerjaya. Memanglah ia bagus, tetapi ia hanya untuk hidup di dunia ini.

Akhirnya kita hanya mengejar dunia dan tidak ingat hidup di alam yang satu lagi.

Berapa ramai yang baru sedar bahawa hidup di alam yang satu lagi itu jauh lebih penting daripada apa yang diharungi kononnya penuh bersemangat?

Ramai yang nyaris terlepas dengan peluang untuk memahami bahawa hidup selepas mati adalah kehidupan yang tidak akan mati-mati lagi.

Cabaran yang dicari dalam kehidupan yang fana ini sebenarnya cabaran yang dicari-cari.

Apakah benar kita meminta jalan yang lurus dalam kehidupan kita apabila kita sentiasa melafaznya dalam solat? Atau, kita tidak nampak jalan yang lurus itu walaupun ALLAH telah perkenankan permintaan kita berkali-kali dalam kehidupan ini?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!