Gesaan tetapkan kriteria tamat darurat tidak relevan

Gambar kecil dari kiri: Dr Muhammad Faiz Na'aman, Dr Nisar Mohammad Ahmad
Gambar kecil dari kiri: Dr Muhammad Faiz Na'aman, Dr Nisar Mohammad Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Gesaan supaya kerajaan menetapkan kriteria khusus bagi menamatkan tempoh proklamasi darurat adalah tidak relevan kerana aspek pengurusan jangkitan pandemik Covid-19 bersifat fleksibel dan sukar dijangka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, dengan pengalaman negara berdepan empat kali gelombang penularan semula Covid-19, belum ada jaminan kadar penularan Covid-19 tidak akan kembali meningkat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) total lockdown kali ini berkesan.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sememangnya berdepan dilema dalam memastikan kadar penularan Covid-19 dibendung sepenuhnya, lebih-lebih lagi dengan sikap segelintir rakyat dan pemimpin politik yang masih tidak patuh dengan arahan SOP dikeluarkan kerajaan.

"Atas faktor itu, kerajaan sedang menilai keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sama ada ia benar-benar membantu membendung penularan kadar jangkitan secara konsisten atau tidak.

"Bagi saya, faktor utama penamatan darurat banyak bergantung kepada situasi semasa kes Covid-19 ditangani semua pihak dan bukan mengikut kehendak atau keperluan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen kepada kerajaan untuk mendedahkan kriteria penamatan darurat yang sehingga kini tidak dijelaskan secara terperinci.

Sementara itu, Muhammad Faiz turut membidas sebarang cadangan pembentukan kerajaan baharu termasuk kerajaan perpaduan interim pada saat negara berdepan gelombang penularan Covid-19 terburuk ketika ini.

Jelas beliau, pada saat kritikal kini, apa yang diperlukan rakyat bukanlah satu bentuk kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, beliau berpendapat rakyat lebih mendambakan keberkesanan jentera kerajaan menerusi agensi-agensi bertanggungjawab untuk memastikan aspek kesihatan dan ekonomi mereka dibela sepenuhnya.

"Sekarang pun kerajaan sudah ikhtiar sampai peringkat paling mencabar iaitu bersetuju memotong gaji Jemaah Kabinet selama tiga bulan selain melaksanakan PKP total lockdown selama dua minggu.

"Justeru, tiada keperluan mana-mana pihak bermain politik dengan menggunakan isu pembukaan semula Parlimen atau tuntutan tempoh darurat ditamatkan segera. Sekarang bukan waktu terbaik kerana tiada jaminan kerajaan bertukar, keadaan jadi lebih baik.

"Dalam keadaan kritikal, banyak elemen memecahbelahkan negara boleh wujud dan semua pihak, termasuk ahli politik pembangkang perlu bersetuju bersama kerajaan untuk menangani musuh nombor satu negara ketika ini, ancaman pandemik Covid-19," katanya.

Pandangan berbeza dikemukakan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nisar Mohammad Ahmad yang meminta kerajaan memberi penerangan kepada rakyat terhadap keberkesanan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam menangani pandemik Covid-19 sepanjang tempoh proklamasi darurat.

Ujarnya, sehingga kini, ramai tidak arif dengan hasil pencapaian dan kemajuan daripada penubuhan jawatankuasa khas itu dengan rakyat kini meragui pelaksanaan darurat seolah-olah tidak menyelesaikan permasalahan pokok.

"Saya fikir gesaan sidang Parlimen dibuka semula atau tuntutan darurat ditamatkan disebabkan pemimpin politik dan rakyat tidak nampak Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 benar-benar berfungsi selesaikan isu Covid-19.

"Jawatankuasa khas itu perlu memikirkan secara lebih tuntas sampai bila darurat perlu dilaksanakan dan saya fikir tidak salah benarkan semula sidang Parlimen dibuka pada saat darurat dilaksanakan.

"Namun, bila sidang Parlimen kembali dibuka, janganlah ada pihak sibuk berpolitiking untuk tukar kerajaan dan sebagainya, sebaliknya kena fokus sepenuhnya isu tangani Covid-19 dan kebajikan rakyat," katanya.