‘Kita mampu atasi rasuah’ - Wan Azizah

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin negara masih mempunyai harapan untuk mengatasi isu rasuah yang telah menjadi budaya sebahagian masyarakat Malaysia.Beliau berkata, usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah perlu dipertingkat supaya ia sampai kepada kumpulan sasaran.

“Kita mesti sedar bahawa ini (rasuah) adalah salah dan bila sudah menjadi budaya, masalah itu sudah sampai ke tahap kita membudayakan apa yang orang kata ‘di bawah meja’. Itu memang susah.

“Tapi kita ada harapan kerana Rasuah Busters ini satu usaha yang baik dan murni.

“Kita mesti teruskan dan kita mesti tingkatkan,” katanya ketika program Mak Untuk Malaysia (MUM) yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Dalam program yang dihoskan Abby Fana itu, Dr Wan Azizah berkata, program yang bersifat memupuk kesedaran mengenai bahaya rasuah perlu menjadikan kumpulan anak muda termasuk kanak-kanak sebagai sasaran utamanya.

Jelas beliau, untuk itu faktor luaran, persekitaran dan gaya hidup anak muda perlu dijadikan panduan dalam usaha menyebar luas mesej yang boleh memupuk kesedaran benci rasuah dalam kalangan mereka.

Dr Wan Azizah (kanan) dalam program MUM dihoskan oleh Abby Fana yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dr Wan Azizah (kanan) dalam program MUM dihoskan oleh Abby Fana yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

“Kita bukan hidup dalam satu vakum, kita ada orang di sekeliling. Ada kawan-kawan lain bagi seseorang kanak-kanak. Itu pengaruh rakan sebaya dan semua ini mesti juga kita fikirkan.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimana kita nak sampaikan mesej itu? “Saya rasa tidak mudah tetapi kita ada media sosial yang memang sudah menjadi darah daging.

“Mesej itu kita kena sampaikan. Bagaimana nak lakukannya, itu kita perlu cuba.

“Seperti program ini (MUM), ia juga salah satu daripada usaha. Ini usaha yang bagus,” ujarnya.

Pada masa sama, sebagai seorang ibu, Dr Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut berkongsikan tiga pesanan dalam kempen Rasuah Busters ‘Mak Kata Jangan’.

“Pertama, jangan lupa bahawa ALLAH selalu melihat apa yang kita buat. Jadi nak buat apa pun, kita kena fikirkan.

“Jangan bohong, jangan curi kalau ia bukan hak anda. Lapar macam mana pun kalau bukan hak anda, jangan anda ambil.

“Satu lagi jangan suka marah,” pesannya.