KPKT senarai 10 sektor boleh mohon surat kebenaran operasi

KPKT menyenaraikan 10 sektor perkhidmatan perlu di bawah kementerian itu yang boleh memohon surat kebenaran beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.
KPKT menyenaraikan 10 sektor perkhidmatan perlu di bawah kementerian itu yang boleh memohon surat kebenaran beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menyenaraikan 10 sektor perkhidmatan perlu di bawah kementerian itu, yang boleh memohon surat kebenaran beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

KPKT menerusi satu kenyataan memaklumkan semua syarikat yang terlibat dalam senarai itu boleh memohon surat kebenaran beroperasi daripada sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 melalui pautan notification.miti.gov.my.

Sektor yang terlibat ialah pajak gadai; pengurusan strata bagi pengurusan badan pemaju; pengurusan strata bagi pengurusan badan JMB atau MC; pengurusan strata bagi pengurusan hartanah strata (JMB atau MC) dan pemungutan sisa pepejal (isi rumah atau komersil, perindustrian dan keinstitusian atau pembinaan).

Turut tersenarai sektor pembersihan awam (merangkumi negeri-negeri yang menerima pakai atau tidak menerima pakai Akta 672); sanitasi awam oleh syarikat konsesi; sanitasi swasta; penyelenggaraan kemudahan atau taman rekreasi awam dan persendirian; serta pengurusan hartanah komersial.

"CIMS 3.0 akan memproses semua permohonan bagi kebenaran beroperasi perkhidmatan perlu (essential services) dalam tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

"Sebarang pertanyaan berhubung isu teknikal CIMS 3.0, boleh e-melkan ke cims@marii.my dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang penipuan atau penyalahgunaan sistem ini," menurut kenyataan itu.

Semua pihak yang diberi kebenaran beroperasi adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam, MKN mengumumkan sebuah pusat sehenti menggunakan CIMS 3.0 diwujudkan yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), untuk mengeluarkan surat kebenaran beroperasi bagi perkhidmatan perlu ketika sekatan pergerakan penuh yang bermula Selasa hingga 14 Jun.- Bernama

Artikel Berkaitan: