X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

'Mereka memang sudah biasa mandi di kawasan pantai'

Mayat salah seorang mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut. Gambar kiri: Amit Salleh Yusof
A
A

PUTATAN - Semua mangsa sudah memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka mandi di pantai sebelum ditemui lemas dalam kejadian di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, pada Selasa.

Menurut bapa kepada tiga beradik yang lemas, Amit Salleh Yusof, 61, anak-anaknya memang sudah biasa mandi di kawasan pantai berkenaan kerana rumah berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Sebelum kejadian saya ada berjumpa mereka semua dan mereka hanya maklumkan mahu mandi di pantai melalui telefon.

"Ketika kejadian, saya tidak berada di rumah sehingga selepas Maghrib dan sempat menunaikan solat sunat dua rakaat. Kemudian saya terima panggilan daripada isteri bahawa anak-anak saya hanyut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tiga beradik terbabit iaitu Norain Amit, 13, ditemui pada jam 8.20 malam sebelum kakaknya Rafidah, 14, ditemui kira-kira 40 minit kemudian manakala Korais, 8, ditemui pada jam 9 malam.

Seorang lagi mangsa, Galang Nain, 17, ditemui jam 9.25 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMAS KINI] Empat mangsa hilang di Pantai Gorongon ditemui

Tiga beradik antara empat dikhuatiri lemas

Menurut Nurminah Paraja, 37, adik iparnya, Galang menetap di Kampung Inanam Laut tetapi datang ke kampung itu untuk membantu abangnya menjual buah.

"Dia tidak juga selalu datang ke sini dan hanya datang untuk membantu jual buah-buahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Malah mandi di laut pun jarang dan kami tidak sangka kejadian ini menimpa dia," katanya.

Sementara itu, menurut seorang mangsa yang terselamat, mereka terperangkap di kawasan air laut dalam sehingga menghanyutkan kesemua mereka.

Abdul Razak Amit, 13, berkata, dia dan tiga lagi bernasib baik kerana ketika itu ada seorang lelaki menaiki perahu melalui tempat kejadian.

"Kami berjaya diselamatkan lelaki terbabit yang kemudian membawa kami ke tempat selamat.

"Lelaki itu cuba kembali ke tempat kami dihanyutkan untuk mencari dua kakak, adik dan abang ipar yang hilang.

"Abang ipar (Dalang) dihanyutkan ketika cuba menyelamatkan dua kakak saya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!