Adakan taklimat dwipartisan, pelihara ruang angkasa negara

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) mencadangkan Menteri Pertahanan mengadakan sesi taklimat khas dwipartisan yang melibatkan kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu pencerobohan ruang angkasa negara.

JKPH dalam satu kenyataan bersama pada Selasa berkata, taklimat tersebut bertujuan menjelaskan langkah dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencegah pencerobohan 16 pesawat tentera milik China.

Kenyataan itu ditandatangani bersama Mohamad Sabu mewakili Parti Amanah Negara (Amanah), Liew Chin Tong (DAP) dan Datuk Johari Abdul (Parti Keadilan Rakyat).

Kenyataan itu juga menyebut PH mahu kerajaan mengemukakan rancangan tindakan yang jelas serta membenarkan ahli Parlimen membincangkan insiden penting itu untuk kepentingan negara.

“JKPH akan menulis kepada Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk menganjurkan taklimat rasmi bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara bagi menghadapi isu kedaulatan negara secara bersama,” katanya.

Dalam kenyataan sama, jawatankuasa terbabit turut menegaskan bahawa insiden itu mengancam keselamatan penerbangan, mencabar kedaulatan negara, dan menjejaskan hubungan antarabangsa.

“Mengikut Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), tanggungjawab memelihara keselamatan negara bukan sahaja terletak atas bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi juga seluruh warganegara Malaysia,” ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan bahawa pihaknya telah mengesan penerbangan mencurigakan iaitu sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 malam waktu tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 pesawat tentera udara China masuk Zon Maritim Malaysia