Agihkan vaksin sama rata antara negara kaya, miskin

India antara negara yang memerlukan bekalan vaksin Covid-19 untuk membendung penularan wabak tersebut yang telah mencetuskan krisis kesihatan terburuk. - Foto AFP
India antara negara yang memerlukan bekalan vaksin Covid-19 untuk membendung penularan wabak tersebut yang telah mencetuskan krisis kesihatan terburuk. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - ‘Pemimpin dunia perlu membuat komitmen baharu bagi memastikan pengagihan vaksin Covid-19 secara adil’.

Kenyataan itu dikeluarkan ketua empat pertubuhan utama global pada Selasa selepas mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakadilan pengedaran vaksin antara negara kaya dan miskin yang akan memburukkan lagi wabak tersebut yang telah meragut lebih 3.5 juta nyawa seluruh dunia.

Menerusi artikel yang diterbitkan The Washington Post, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) menyalahkan jurang yang wujud dalam program vaksinasi telah menyebabkan kemunculan beberapa varian baharu.

“Ia jelas menunjukkan akses kepada vaksinasi merupakan kunci utama untuk memulihkan pandemik Covid-19 dan menamatkan krisis kesihatan.

“Kita memerlukan tindakan segera,” ujar Pengarah Pengurusan IMF, Kristalina Georgieva, Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Presiden Bank Dunia, David Malpas dan Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okojo-Iweala menerusi kenyataan bersama.

Mereka juga meminta negara anggota G7 untuk menyokong pembiayaan baharu berjumlah AS$50 bilion (RM206 bilion) dan strategi yang diselaraskan untuk kempen inokulasi global pada mesyuarat di United Kingdom (UK) bulan ini.

Sebelum ini, WHO telah berulang kali menolak ketidaksamaan pengagihan vaksin terutamanya negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin secara berlebihan supaya mendermakan kepada negara yang memerlukan.

Keadaan itu berlaku selepas negara kaya dikatakan melangkaui program Covax yang disokong PBB untuk memastikan pengedaran vaksin secara adil dan memonopoli sebahagian besar bekalan vaksin daripada lebih 1.8 bilion dos yang telah diberikan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Desakan yang semakin meningkat untuk mencapai imuniti kelompok menyebabkan negara anggota G7 yang mengadakan pertemuan di London bulan lalu menzahirkan komitmen untuk menyalurkan dana bagi menyokong inisiatif Covax - AFP