X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Prasarana sahkan terima notis tuntutan pampasan RM1.8 juta

Prasarana sudah mula melakukan pembayaran sumbangan ihsan kepada mangsa insiden tren bertembung seperti yang diumumkan pada 25 Mei lepas.
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) mengesahkan ia sudah menerima notis tuntutan daripada peguam yang mewakili Wong Chee Foong, seorang daripada penumpang yang terkesan akibat pelanggaran tren sistem transit aliran ringan (LRT), awal minggu lepas.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Norlia Noah berkata, Prasarana menerima notis itu hari ini dan perkara itu akan dikendalikan penasihat undang-undang yang dilantik untuk pertimbangan sewajarnya dan tindakan segera.

“Kebajikan penumpang kami terus menjadi keutamaan. Sejak mengetahui insiden itu, Prasarana mengambil langkah segera sama ada menghubungi penumpang terlibat atau ahli keluarga mereka.

"Kami memahami, salah seorang penumpang, Chee Foong kini masih menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur. Sumbangan ihsan kepada beliau akan disampaikan sebaik sahaja keadaan sesuai untuk berbuat demikian.

"Kami memberi jaminan perbelanjaan perubatan untuk pembedahan dan rawatan lain di Hospital Kuala Lumpur akan ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana dan kami mendoakan supaya beliau segera sembuh,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dilaporkan keluarga mangsa nahas LRT itu menghantar notis tuntutan kepada Prasarana, meminta pengendali perkhidmatan rel itu membayar RM1.8 juta pampasan dan ganti rugi kecuaian di atas kecederaan yang dialaminya.

Tuntutan berkenaan merangkumi perbelanjaan bagi perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, ganti rugi khas dan am atas kecuaian yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden LRT: Keluarga mangsa tuntut pampasan RM1.8 juta

LRT bertembung: Tiga alami pendarahan otak

Norlia juga berkata, Prasarana sudah mula melakukan pembayaran sumbangan ihsan seperti yang diumumkan semasa sidang akhbar pada 25 Mei lepas.

“Ini merupakan sumbangan ihsan sekali bayar kepada kesemua 213 penumpang terlibat dan akan dibayar sebaik sahaja butiran penumpang diperoleh dan disahkan. Setakat ini 31 penumpang telah tampil untuk menerima bantuan itu,” kata beliau.

Syarikat itu juga sudah menghulurkan sumbangan ihsan dalam bentuk bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan dan rawatan susulan selain daripada menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua penumpang yang terlibat dalam nahas itu.

Dalam kejadian 8.33 malam, 24 Mei itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Pada keesokan harinya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati nahas itu antaranya disebabkan kecuaian pemandu salah sebuah tren itu yang memandu ke arah yang salah.

Prasarana sebelum itu mengumumkan bahawa ia akan menyediakan bantuan khas RM1,000 dan bantuan lain kepada semua mangsa nahas itu.-- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!