Isu LGPMC: SPRM akan panggil Ahmad Nazlan bantu siasatan

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris bagi membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai isu LGM Properties Corporation (LGMPC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan berhubung isu itu juga sedang dijalankan.

"Kita ada menerima aduan berkaitan isu tersebut dan sedang menjalankan siasatan, kita akan memanggil bekas pengerusi (LGM) untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran.

Sementara itu, Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut menafikan terlibat dalam isu LGMPC membabitkan penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran seperti yang tular beberapa hari lalu.

Beliau bagaimanapun bersedia disiasat SPRM berhubung isu LGMPC dan dijangka memberikan penjelasan berkaitan kerana namanya telah dikaitkan sebagai Pengerusi LGM dalam isu terbabit.

Ahmad Nazlan menegaskan beliau bukan menjadi Pengerusi LGM selepas ditamatkan kontrak pada 14 April yang lalu.

“Saya tidak terlibat dalam isu ini dan mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah LGM amat mengambil berat mengenai tadbir urus LGMPC," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Nazlan memberitahu, satu jawatankuasa ditubuhkan dan LGM sudah melakukan usaha penambahbaikan sebelum ini.

“Dalam isu sewaan tanah 70 sen sekaki, LGM hanya bersetuju untuk pajakan lima tahun dan ditambah 10 tahun tetapi menteri berkenaan mahukan lima + 10 + 10 menjadikan 25 tahun.

“Hasil yang diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion sekiranya diuruskan dengan cara yang lebih baik berbanding hasil sewaan cuma RM42 juta sahaja kepada syarikat milik rakyat Turki berkenaan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu LGMPC: Ahmad Nazlan sedia disiasat SPRM