Selangor benar enam jemaah solat Jumaat, fardu

SOLAT
SOLAT
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya enam orang jemaah dibenarkan bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di semua masjid, surau dan musolla di negeri ini, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook @Zawawi Mughni, beliau berkata, ketetapan baharu tersebut hanya melibatkan pentadbir masjid, surau dan musolla di negeri ini yang telah berkuat kuasa mulai solat Subuh pada Selasa hingga ke suatu tempoh ditetapkan.

“Namun begitu keutamaan kepada jemaah (pentadbir) juga diberikan kepada mereka benar-benar mempunyai tahap kesihatan diri yang baik dan telah menerima suntikan vaksin.

“Sehubungan pelaksanaan ketetapan bilangan jemaah terbaharu itu, semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Selangor ditangguhkan termasuk kuliah dan tazkirah namun ia dibenarkan untuk dilaksana secara dalam talian,” katanya.

Zawawi berkata, pentadbir masjid dan surau juga hendaklah terus memberikan akses kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Selain itu, katanya pengurusan jenazah bukan Covid-19 diberi kebenaran untuk dilaksanakan di masjid ataupun surau namun kehadiran jemaah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 15 orang.

“Ia tidak termasuk pentadbir atau pegawai (orang menguruskan jenazah) yang tidak melebihi enam orang,” katanya.

Zawawi turut meminta pentadbir masjid dan surau untuk mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada mana-mana ahli kariah yang terjejas dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dengan penyaluran wang tunai harus disalurkan terus ke akaun penerima bantuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: