10 ditahan di bawah Ordinan Darurat

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu ditahan secara berasingan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada jumlah tersebut, tiga individu telah menerima arahan tuduh daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

"Tujuh yang lain diberi jamin polis sehingga siasatan dilengkapkan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Acryl Sani berkata, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah seksyen sama sejak ia dikuatkuasakan.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Kontinjen," katanya.

Beliau berkata, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021adalah khusus untuk mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid 19 atau proklamasi darurat.

"Ia sekali gus memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya di media sosial," katanya.

Acryl Sani sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran orang ramai berhubung langkah kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid 19.

Artikel Berkaitan: