PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak lima lokaliti dan satu kampung di Sarawak serta Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 Jun hingga 16 Jun 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan pada Selasa berkata, dua lokaliti di Mukah Sarawak yang dikenakan PKPD ialah di Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Duan.

Menurutnya, tiga lokaliti di Kota Belud, Sabah membabitkan Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau manakala satu kampung di Tuaran, Sabah iaitu Kampung Simpangan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku penularan jangkitan dalam komuniti tempatan di dua lokaliti di Mukah, Sarawak apabila sebanyak 29 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 166 penduduk Kampung Bunut.

“Rumah Panjang Undum Anak Anchih pula merekodkan 12 kes positif hasil 56 saringan dengan kadar positiviti 21.43 peratus.

“Untuk tiga lokaliti di Kota Belud pula, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara apabila sebanyak lapan kes positif direkodkan di Taman Nikmat, tujuh kes di Kampung Pirasan dan lapan kes di Kampung Dundau,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD di Kampung Simpangan kerana terdapat peningkatan kes yang ketara apabila sebanyak lapan kes positif direkodkan hasil daripada 10 ujian saringan yang dijalankan.

Sementara itu, menurut beliau, kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan PKPD di Rumah Panjang Wun anak Ering da SK Bakerkong Tanjung Manis, Mukah, Sarawak bermula 3 Jun sehingga 16 Jun 2021

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelaksanaan PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah juga akan ditamatkan bermula esok iaitu 2 Jun 2021.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, sebanyak 684 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Isnin dengan 630 dikompaun, 45 direman manakala sembilan sembilan lagi dibenarkan ikat jamin.

Antara kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka 175 individu, gagal merekodkan butiran diri (143), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (79) tiada penjarakan fizikal (77), aktiviti pusat hiburan (sembilan) dan lain-lain kesalahan (118).