Teguran Tun M kepada Kementerian Pertahanan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan ketika lawatan rasmi beliau di Wisma Pertahanan, hari ini. Foto: Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan ketika lawatan rasmi beliau di Wisma Pertahanan, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan diingatkan agar meningkat dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangannya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini bagi mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius selain ia selari dengan pelaksanaan reformasi tadbir urus bagi meningkatkan ketelusan untuk mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa.

"Dalam hal berkaitan dengan kecekapan tadbir urus dan integriti, suka saya menarik perhatian kepada Laporan Audit Negara, di mana banyak teguran telah diberikan kepada jabatan dan agensi kerajaan. Teguran ini merangkumi pengurusan program, aktiviti, pembinaan, perolehan, sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi, penyenggaraan dan pengurusan hasil.

"Kementerian Pertahanan juga tidak terkecuali dari teguran ini. Sehubungan itu, kementerian diingatkan untuk meningkat dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangan agar isu yang dibangkitkan tidak berulang serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius," katanya ketika berucap sempena lawatan rasminya ke Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Katanya lagi, kementerian hendaklah mengambil tindakan sewajarnya seperti memastikan pengetahuan dan kemahiran pegawai terlibat dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan dengan memberi latihan berterusan.

"Ini kerana kerajaan pada hari ini sangat komited untuk memastikan Malaysia dikenali kerana tadbir urus cekap dan budaya integriti yang tinggi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: NGO gesa siasat ketirisan 'land swap' Kementerian Pertahanan

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertahanan akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung ketirisan hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan projek ‘land swap’ kementerian itu.

Mohamad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima laporan akhir siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang terhadap beberapa projek kementerian termasuk land swap.

Laporan siasatan itu juga telah dibentangkan dan diterima pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 13 Feb lepas.

Menurutnya, hasil siasatan jawatankuasa itu yang telah dibentangkan pada 28 Jan lepas mendapati terdapat 16 projek land swap melibatkan 1286 hektar (2,923 ekar) tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.