Pemerkasa Tambahan tidak penuhi jangkaan sektor perniagaan: FMM

FMM menyeru kerajaan untuk segera memasukkan beberapa bantuan dan inisiatif termasuk lanjutan moratorium pinjaman automatik kepada semua perniagaan yang terjejas oleh Sekatan Pergerakan Penuh. - Foto Bernama
FMM menyeru kerajaan untuk segera memasukkan beberapa bantuan dan inisiatif termasuk lanjutan moratorium pinjaman automatik kepada semua perniagaan yang terjejas oleh Sekatan Pergerakan Penuh. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakej Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion tepat pada masanya tetapi tidak memenuhi jangkaan sektor perniagaan, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau berkata, industri itu khususnya, menyambut baik lanjutan Program Subsidi Upah, moratorium pinjaman automatik tiga bulan atau pengurangan 50 peratus bayaran balik ansuran pinjaman serta tambahan RM2 bilion yang diperuntukkan bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar oleh Bank Negara Malaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, industri juga memuji inisiatif untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada 150,000 sehari menjelang Jun 2021 dan berharap kerajaan akan mempercepatkan program imunisasi besar-besaran melalui pelaksanaan vaksinasi yang dilaksanakan hospital dan klinik swasta serta suntikan vaksin bagi sektor ekonomi melalui inisiatif imunisasi perkongsian awam swasta (PPP) bagi mencapai tahap imunisasi kelompok dengan lebih cepat.

“Malangnya, bantuan dan inisiatif yang diumumkan tidak memenuhi jangkaan dan permintaan sektor perniagaan terhadap bantuan secara langsung kepada industri yang terjejas akibat Sekatan Pergerakan Penuh, terutama mereka yang tidak dapat beroperasi dalam tempoh ini,” katanya.

Menurutnya, Sekatan Pergerakan Penuh yang lebih ketat ini memberi impak yang jauh lebih besar berbanding beberapa PKP lepas, memandangkan perniagaan belum pulih daripada kesan awal sebelum ini, rizab kewangan mereka, terutama bagi PKS, telah berkurangan sejak setahun lalu.

Justeru, Thian Lai berkata, industri menyeru kerajaan untuk segera memasukkan beberapa bantuan dan inisiatif termasuk lanjutan moratorium pinjaman automatik kepada semua perniagaan yang terjejas oleh Sekatan Pergerakan Penuh tanpa mengira ukuran dan pengembangan Akta Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Covid-19 bagi memberi kelegaan pada perkhidmatan pembuatan dan yang berkaitan seperti perdagangan atau pengedaran serta logistik yang pada masa kini tidak termasuk. - Bernama

Artikel Berkaitan: