MITI didesak semak semula kebenaran operasi kilang arak

Kenyataan MN Selangor pada Selasa.
Kenyataan MN Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) Selangor mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyemak semula status kilang-kilang arak yang diletakkan di bawah kategori perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh mulai Selasa hingga 14 Jun ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kilang arak sangat tidak munasabah untuk dikategorikan sebagai pembuatan perlu sebagaimana makanan dan minuman lain.

"(Kilang dan pengeluaran arak) sepatutnya ditutup dan tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sebagaimana industri 'non-essential' yang lain.

"Kebetulan dua buah kilang arak berlesen dalam negara terletak di negeri Selangor," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, MN Selangor berpandangan bahawa tidak sepatutnya membuka pintu dan ruang kemurkaan ALLAH ketika semua pihak sedang berusaha dan berikhtiar memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Jangan sekali-kali membuka pintu dan ruang kemurkaan ALLAH.

"Langkah ini diyakini didukung oleh umat Islam dan rakyat Malaysia khasnya di negeri ini," ujarnya.

Jelas kenyataan itu, MN mewakili umat Islam dan rakyat yang prihatin mendesak supaya industri arak dikeluarkan daripada senarai ekonomi perlu serta-merta.

Artikel Berkaitan:

"MN Selangor turut menuntut agar kuasa menentukan sesuatu industri itu perkhidmatan perlu atau 'essential services' perlulah diputuskan secara kolektif oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya di bawah MITI agar kes seperti kilang arak ini tidak berulang," kata mereka.