Tenang hari pertama 'lockdown'

Suasana tenang tidak seperti dua hari sebelum ini di sebuah pasar raya di Mentakab.
Suasana tenang tidak seperti dua hari sebelum ini di sebuah pasar raya di Mentakab.
A
A
A

TEMERLOH - Orang ramai tidak perlu keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan terdapat dua mukim iaitu Mukim Perak dan Bangau di daerah itu dikenakan PKPD bermula 28 Mei hingga 10 Jun.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mereka yang berada di kawasan PKPD tertakluk kepada SOP PKPD sehingga tempoh PKPD itu berakhir.

"Bagi mukim-mukim lain, mereka tertakluk dengan SOP Sekatan Pergerakan Penuh yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya pada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, pemeriksaan dan rondaan pematuhan dilaksanakan di premis selain tujuh Sekatan Jalan Raya (SJR) diadakan di beberapa lokasi terpilih di daerah itu.

Sementara itu, suasana hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh pada Selasa di Mentakab dilihat tenang dan tidak ramai yang berada di jalan raya.

Bengkel motosikal menjadi tumpuan pengguna berikutan premis itu antara yang turut dibenarkan beroperasi.
Bengkel motosikal menjadi tumpuan pengguna berikutan premis itu antara yang turut dibenarkan beroperasi.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi juga mendapati tiada yang berkumpul malah tidak ramai yang mengunjungi pasar raya seperti dua hari sebelum sekatan dilakukan.

Tinjauan di bank juga ada pelanggan beratur sebelum memasuki premis itu tetapi kesemua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bengkel kenderaan juga menjadi tumpuan pengguna yang mendapatkan khidmat pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan selain stesen minyak dan kedai makan.

Seorang pekerja gerai nasi kukus ayam berempah memberitahu, tempahan yang diterima pelanggan tetap seperti biasa walaupun pada hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh.

Sinar Harian difahamkan walaupun tidak ramai pelanggan yang datang ke kedai namun tempahan dalam talian mendapat sambutan dan mereka membeli dalam kuantiti lebih banyak.

Bagaimanapun, bagi premis yang tidak dibenarkan beroperasi seperti kedai gunting gunting, kedai buku, barangan elektrik, hanya papan tanda 'Tutup' dipamerkan di depan premis.