1.2 juta pekerja diberi kebenaran bekerja di premis

Seramai 1.2 juta pekerja mendapat kebenaran bekerja di premis syarikat masing-masing dalam tempoh PKP 3.0.
Seramai 1.2 juta pekerja mendapat kebenaran bekerja di premis syarikat masing-masing dalam tempoh PKP 3.0.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekitar 1.2 juta pekerja mendapat kebenaran bekerja di premis syarikat masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang bermula pada Selasa, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI dalam satu kenyataan berkata, langkah mengehadkan operasi perniagaan itu telah mengurangkan kehadiran sejumlah dua juta pekerja daripada 3.2 juta yang perlu bekerja di premis.

“Jumlah itu adalah daripada 517,144 syarikat dengan 9.67 juta pekerja yang berdaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) kelolaan kementerian setakat jam 12 tengah hari tadi.

“Sebanyak 95,142 syarikat telah memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa tempoh PKP 3.0 dan sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Pada masa sama, MITI turut menggalakkan syarikat yang dibenarkan beroperasi tetapi masih belum mendaftar dengan CIMS 3.0 untuk berbuat demikian pada kadar segera.

Katanya, ia bagi membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan operasi sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Semua surat kelulusan yang dikeluarkan oleh MITI melalui CIMS 3.0 hendaklah mengandungi kod QR. Ia adalah ciri yang diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan mengesahkan kesahihan surat kelulusan," jelasnya.

Sementara itu, MITI memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan dalam pelaksanaan keputusan semasa yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga Isnin, sembilan kementerian telah menyediakan senarai sektor ekonomi masing-masing yang diluluskan bagi tujuan pengeluaran surat kelulusan MITI kepada syarikat yang berdaftar dengan CIMS 3.0.

Katanya, sebuah pusat operasi khas juga ditubuhkan bagi menyelaraskan CIMS 3.0 bagi memastikan keberkesanan serta kelancaran proses aplikasi sesuai dengan SOP PKP 3.0.