Pegawai Baitulmal direman bantu siasatan salah guna kuasa

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penjawat awam direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa melibatkan kerja-kerja pembekalan cenderahati dianggarkan bernilai RM20,865.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Haryatie Mohd Saini selepas Pegawai Penyiasat SPRM Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim mengemukakan permohonan.

Suspek yang berusia 33 tahun dan bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam (Baitulmal) Daerah Kuala Pilah didakwa menggunakan kedudukannya dengan mencadang dan mengesahkan permohonan bagi melantik Syarikat Al Baiquni Enterprise dalam kerja pembekalan Cenderahati Asnaf kepada Baitulmal Daerah Kuala Pilah, pada Jun 2017.

Suspek juga mempunyai kepentingan peribadi dalam kerja pembekalan tersebut yang kerja-kerja berkenaan dijalankan sendiri olehnya dengan menggunakan nama syarikat Al Baiquni.

Dia ditahan pada 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika hadir untuk memberi keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek lelaki berkenaan hadir ke mahkamah di sini bersama pegawai SPRM dan peguam A Kriyshana. - Bernama

Artikel Berkaitan: