Tiga hari dapatkan surat kebenaran MITI

Mohamad Fakhrudi memeriksa aplikasi MySejahtera seorang pekerja di sebuah kilang elektronik di Kota Damansara dalam operasi pematuhan SOP sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa, pada Selasa.
Mohamad Fakhrudi memeriksa aplikasi MySejahtera seorang pekerja di sebuah kilang elektronik di Kota Damansara dalam operasi pematuhan SOP sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa, pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Petaling Jaya memberi tempoh selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis kepada pekerja dan syarikat untuk mendapatkan surat kebenaran bekerja serta beroperasi yang terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melalui sekatan jalan raya dan menjalankan operasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, berkuat kuasa pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setakat ini pihaknya memberi kelonggaran dan tidak mengeluarkan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang masih menggunakan surat kebenaran lama.

"Kami memberi peluang tiga hari itu selaras dengan arahan Ketua Polis Selangor (Datuk Arjunaidi Mohamed) dan selepas tempoh itu, polis tidak berkompromi serta akan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang tiada surat berkaitan.

"Pagi ini, kami mendapati masih ada menggunakan surat MITI lama dan tempoh tiga hari itu dapat digunakan orang ramai dan masyarakat untuk dapatkan surat baharu daripada MITI bagi mereka keluar bekerja dan menjalankan operasi," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan MITI semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak boleh diguna pakai dan kesemua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh perlu membuat permohonan baharu daripada MITI.

Sebelum ini, Mohamad Fakhrudin mengetuai operasi pematuhan SOP di kilang elektronik dan kilang pemprosesan makanan di Kota Damansara dan Kelana Jaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau berkata, sebanyak lapan premis sektor perkilangan dan perkhidmatan diperiksa dan mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya mengekalkan SJR sedia ada di kawasan plaza tol dan jalan utama, selain menyediakan 10 SJR Bergerak serta 14 pasukan penguatkuasaan yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP. - Bernama

Artikel Berkaitan: