X

Kindly register in order to view this article
!

Pesara guru rugi RM133,410 diperdaya Macau Scam

Seorang pesara guru wanita kerugian RM133,410 selepas diperdaya sindiket Macau Scam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Elias Omar)
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesara guru wanita kerugian RM133,410 selepas diperdaya sindiket Macau Scam apabila menerima panggilan telefon dari seorang perempuan yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi pada 20 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata, mangsa berusia 53 tahun menerima panggilan yang mendakwa syarikat itu bakal menamatkan perkhidmatan komunikasi yang dilanggannya kerana terlibat aktiviti judi dalam talian.

Menurut beliau, panggilan tersebut kemudiannya dikatakan disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Lai Lee Cheng mengesahkan nama mangsa terlibat dengan pelbagai kes jenayah.

"Wanita ini kemudian telah dihubungi oleh seorang lelaki bernama ACP Dato Mohd Hafiz Abdullah dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang menyatakan mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta terdapat waran tangkap ke atas mangsa.

"Mangsa kemudian telah disambung semula ke IPD Seremban untuk tawaran penyelesaian waran tangkap dengan diberi tiga pilihan sama ada akan direman, akaun bank akan dibeku atau memberi kerjasama kepada pihak polis.

"Mangsa memilih untuk memberi kerjasama kepada pihak polis iaitu perlu mengikut semua arahan yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Elias berkata, akibat terperdaya, mangsa telah membuat pembayaran dengan memasukkan wang ke dalam lima akaun bank berbeza.

Menurutnya, sebanyak 16 kali transaksi berjumlah RM 133,410 dilakukan sejak 20 Mei hingga 22 Mei lalu. Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan sendiri, pinjaman daripada keluarga dan rakannya.

"Wanita itu sedar ditipu apabila memberitahu perkara sebenar kepada ahli keluarga berkaitan wang pinjaman yang dibuat.

"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kesalahan tipu)," ujarnya.

Tambah Elias, IPK Kedah mengingatkan orang ramai terutama pesara-pesara supaya tidak percaya sewenang-wenangnya dengan mana-mana panggilan yang mengaku mereka adalah daripada agensi-agensi kerajaan seperti mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, kastam, bank, Pos Malaysia dan syarikat telekomunikasi.

"Sindiket ini akan mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti dadah dan pengubahan wang haram serta meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan atau lain tujuan kerana mereka selalu menggunakan Modus Operandi (MO) sedemikian untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsa-mangsa," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!