X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 masuk kawasan pedalaman

Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap dijangka turun padang di daerah ini pada Rabu dan destinasi pertama pemberian vaksin adalah di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang. - Foto MDPT
A
A

KUALA NERANG - Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) melancarkan Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 di kawasan pedalaman dan kampung untuk memberi suntikan vaksin terutama kepada warga emas pada Selasa.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MDPT merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Kedah yang melaksanakan usaha itu selepas mendapati kesukaran golongan terbabit hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurutnya, unit itu disertai oleh doktor, jururawat, petugas jabatan kesihatan negeri dan anggota keselamatan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Penduduk di kawasan pedalaman khususnya warga emas tidak perlu lagi datang ke PPV. Unit ini akan berada pada satu tempat yang dikhaskan di kampung tertentu dan mampu memberikan suntikan vaksin kepada 50 hingga 60 individu seperti yang ditetapkan.

"Unit ini tidak bergerak dari rumah ke rumah. Pasukan pemantau keselamatan akan memantau penduduk supaya mengikut SOP ketika pemberian vaksin dilakukan," katanya pada sidang akhbar di PPV Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang pada Selasa.

Mahdzir (berdiri, dua dari kanan) meninjau situasi di PPV Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang pada Selasa. - Foto MDPT
Mahdzir (berdiri, dua dari kanan) meninjau situasi di PPV Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang pada Selasa. - Foto MDPT

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 untuk melakukan suntikan vaksin di daerah Padang Terap.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 5,000 daripada 16,000 penduduk yang berdaftar telah mendapatkan suntikan vaksin dan jumlah tersebut dijangka meningkat dalam bulan Jun dan Julai.

Menurutnya, PPV di daerah Padang Terap kini terdapat di Dewan Tunku Putra, Naka dan Lubuk Merbau dan beliau menjangkakan proses suntikan dapat dipercepatkan melalui unit bergerak itu.

"Kita menjangkakan menjelang Ogos, peratusan individu mendapat suntikan vaksin lebih tinggi di daerah ini. Kita harap orang ramai dapat memberikan kerjasama apabila diminta hadir bagi menerima suntikan," katanya.

Unit Bergerak Vaksinasi Covid-19 Padang Terap dijangka turun padang di daerah ini pada Rabu dan destinasi pertama ialah Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!