60 tahun pun, imej masih sama: Raja Ema

Raja Ema
A
A

PENYANYI dan pelakon Raja Ema berharap imejnya yang telah bertudung ini akan kekal.

"Buat masa ini saya tak rasa lagi untuk buka tudung kembali. Bagi saya, iman kita sebagai manusia tidak sempurna, cukup saya katakan, jika ada tawaran berlakon tak bertudung, saya tak terima.

"Tapi sekarang inilah imej saya dan mungkin kalau usia 60 tahun pun, imej saya masih sama," jelasnya yang kini berusia 51 tahun.

Mengimbas kembali, kemunculan semula Raja Ema setelah lama menghilang mendapat perhatian ramai. Namun imej ketika itu tanpa tudung membuatkan beliau dikecam.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Raja Ema berkata, filem Keluarga Iskandar The Movie adalah naskhah pertama yang dibintanginya selepas mengambil keputusan untuk berehat seketika sejak dua tahun lalu.

Mengakui kini lebih selektif dalam memilih tawaran, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jejaka Idaman ini menjelaskan, sukar buatnya untuk menolak tawaran dari KL Motion Pictures.

"Saya menyertai siri Keluarga Iskandar pada musim kedua dan hanya muncul pada empat episod terakhir.

"Jadi bila penulis, penerbit dan pengarah, Wan Hasliza beritahu watak saya akan bersambung di dalam filem, memang saya teruja sebab nak tahu apa kesudahan Zahirah bersama Keluarga Iskandar nanti," katanya.

Selain Raja Ema, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu termasuk Hilal Azman, Zain Hamid, Azhar Sulaiman, Anita Baharom, Kismah Johar dan penampilan khas seperti Zara Zya, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin dan Amy Mastura.

Filem yang diangkat dari siri TV popular di Astro ini dijangka bakal menemui penonton di pawagam pada bulan September depan.

Tambah Raja Ema, sepanjang tempoh berehat, dia memberi tumpuan kepada perniagaan online berasaskan produk kecantikan dan kesihatan.